"..Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat."
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya]
Firman Allah SWT:
اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَات
"Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benarnya Takwa kepada-Nya, dan janganlah sekali-kali kalian mati melainkan dalam beragama Islam."
Takwa ertinya:
Menunaikan segala perintah-perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-larangannya.
Takwa dari sudut bahasa:
Ibnu Manzur dalam Lisan Al-'Arab (15/401) menjelaskan, Takwa ialah menjaga diri atau berhati-hati.
Dikatakan:
Maksud ayat di atas adalah hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk ditakuti azab seksa-Nya dan hanya Allah SWT sahajalah yang berhak untuk diperlakukan dengan apa yang mendatangkan keampunan-Nya. (Lihat Lisan Al-Arab)
Menurut al-Raghib al-Asfahani, takwa bermaksud menjaga diri daripada perbuatan yang membuatkannya berdosa, dan hal itu adalah dengan meninggalkan apa yang dilarang, dan menjadi sempurna dengan meninggalkan sebahagian yang dihalalkan. (Lihat Al-Mufradat fi Gharib al-Quran, halaman 531)
Imam al-Nawawi pula menjelaskan bahawa takwa itu adalah mentaati perintah Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Yakni, menjaga diri daripada kemurkaan dan azab Allah SWT. (Lihat Tahrir Alfaz Al-Tanbih, halaman 322)
Al-Jurjani pula menyebut bahawa takwa adalah menjaga diri daripada azab seksa Allah SWT dengan mentaati-Nya. Dengan erti kata yang lain, seseorang menjaga diri daripada perbuatan yang boleh mengakibatkan diazab dan diseksa, sama ada dengan melakukan perbuatan atau meninggalkannya. (Lihat Al-Ta'rifat, halaman 68)
Dasar takwa adalah seorang hamba meletakkan pelindung antara dirinya dengan sesuatu yang dia takutkan dan khuatirkan. Jadi, takwa seseorang kepada Rabb-nya ialah dia meletakkan antara dirinya dan apa yang dia takutkan daripada Rabb-nya berupa kemarahan dan hukuman-Nya, sebuah pelindung yang melindungi dirinya daripada semua yang dia takutkan itu. Pelindung tersebut adalah dengan melakukan segala ketaatan dan menjauhi segala larangan. (Lihat Jami' 'Al-Ulum Wa Al-HIkam, halaman 1/398)
Ibn Mas’ud R.A berkata: “Hendaklah Allah Azza wa Jalla itu ditaati dan tidak dilakukan maksiat pada-Nya, sentiasa diingati dan tidak dilupakan, serta disyukuri dan tidak diingkari.” (Lihat Al-Mu'jam Al-Kabir oleh Al-Tabarani No.8502) (Lihat jugak Jami' Al-Bayan 3/375)
Ibn al-Qayyim berkata: Hakikat takwa adalah melakukan ketaatan kepada Allah SWT dilandasi keimanan dan mengharap pahala-Nya kerana ada perintah dan larangan sehingga seseorang melakukan perintah Allah SWT dengan mengimani Zat yang memerintah dan membenarkan janji-Nya, dan dia meninggalkan apa yang Allah larang baginya dengan mengimani Zat yang melarangnya dan takut terhadap ancaman-Nya.
Sepertimana disebut oleh Thalq bin Habib Rahimahullah: “Apabila berlaku fitnah, padamkanlah fitnah itu dengan takwa.” Orang ramai bertanya: “Apakah takwa itu?” Dia menjawab: “Takwa adalah engkau melakukan ketaatan kepada Allah berdasarkan cahaya (dengan keimanan dan ilmu yang benar) daripada Allah, kerana mengharapkan pahala daripada-Nya, dan engkau meninggalkan segala bentuk kemaksiatan kepada-Nya berdasarkan cahaya daripada-Nya, kerana takut terhadap azab seksa-Nya.”
Menurut Ibn al-Qayyim, ini adalah sebaik-baik definisi bagi kalimat takwa. Kerana seluruh amal mesti memiliki permulaan dan tujuan akhir. Suatu amalan tidak dikatakan sebagai ketaatan dan qurbah (amalan yang mendekatkan diri kepada Allah) sehinggalah ia berdasar dan bersumberkan daripada keimanan. Dengan demikian, yang menjadi pendorong ia melakukan suatu amalan adalah keimanan semata-mata, bukan adat (kebiasaan), hawa nafsu, mengharap pujian dan kedudukan dan selainnya. Amalan tersebut hendaklah diawali dengan keimanan, manakala tujuan akhirnya adalah mengharap pahala daripada Allah dan keredhaan-Nya. Inilah yang disebut dengan al-ihtisab (mengharapkan pahala). Lihat aA-Risalah Al-Tabukiyyah, halaman 15)
Menurut Ibn Kathir, orang yang bertakwa ialah orang yang takut akan kesyirikan dan perkara yang diharamkan Allah SWT, mengerjakan semua perkara yang difardhukan serta berhati-hati dengan hukuman daripada-Nya jika meninggalkan petunjuk-Nya, di samping mengharapkan rahmat-Nya dengan membenarkan segala perkara yang datang daripada-Nya. (Tafsir Ibnu Kathir, 1/163)
Kata-kata sahabat dan ulama' berkenaan maksud Takwa:
Sayyidina Ali RA berkata:
"Takwa ialah takut kepada Tuhan yang mulia, beramal dengan kitab yang diturunkan. Redha dengan sedikit dan bersiap sedia untuk hari kesusahan."
Abdullah Bin Mas'ud RA berkata:
"Takwa adalah kamu sentiasa mengingati Allah SWT dan tidak melupakannya, dipatuhi dan tidak diderhakai, disyukuri dan tidak diingkari."
Abu Bakar Muhammad Al-Rauzabari Rahimahullah berkata:
"Takwa ialah menjauhi apa yang menjauhkanmu daripada Tuhan."
Talaq bin Habib Rahimahullah berkata:
"Takwa ialah amalan dengan ketaatan kepada Allah SWT."
Abu Hafs Rahimahullah berkata:
"Takwa hanya pada perkara yang halal semata-mata dan bukan yang lain.
Ibn Athaillah Rahimahullah berkata:
"Takwa terbahagi kepada dua, iaitu zahir dan batin. Zahirnya ialah dengan menjaga had dan batasan serta batinnya pulak dengan niat dan ikhlas."
Abu Al-Husin Al-Zanjani Rahimahullah berkata:
"Siapa yang bermodalkan hartanya dan Takwa, nescaya beratlah segala lidah daripada mensifatkan baunya."
Al-Wasiti Rahimahullah berkata:
"Takwa ialah seseorang memelihara dari takwanya, iaitu dari melihat ketakwaannya."
Kepentingan Takwa amat jelas sehingga dikatakan:
'Manusia yang paling mulia di sisi Allah ialah yang paling bertakwa...'
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."