بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً
"..Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat."
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya]
"..Sampaikanlah kalian daripadaku walaupun sepotong ayat."
[Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3461) dalam Sahih-nya]
Sumber : blog
1. Jangan bergurau dengan benda tajam
Sudah menjadi kebiasaan mereka di luar sana yang ingin mencari kandungan media sosial, mereka sanggup bergurau dengan benda-benda yang berbahaya seperti pisau, pistol, pedang dan lain-lain lagi.
Tahukah kita bahawa orang yang menghunus benda tajam kepada saudaranya merupakan amalan yang terlaknat.
Tahukah kita bahawa orang yang menghunus benda tajam kepada saudaranya merupakan amalan yang terlaknat.
Sabda Baginda Rasulullah:
"Barang siapa yang memberikan isyarat menghunus dengan satu benda tajam kepada saudaranya, nescaya para malaikat akan melaknatnya sekalipun jika dibuat kepada saudara sebapa atau seibunya." - [HR Muslim 2616].
Berkata Imam Nawawi dalam al-Minhaj:
Maksud para malaikat melaknat itu adalah menunjukkan kepada hukum haram. al-Minhaj (16/170).
Baginda Rasulullah juga mengingatkan kepada kita, berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a dengan sabda Baginda:
"Tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh membalas mudarat (dengan mudarat)." - [HR Ibnu Majah 2341].
2. Jangan bergurau dengan menjatuhkan maruah seseorang
Bergurau untuk menjatuhkan maruah seseorang pada hari ini sudah menjadi kebiasaan tanpa memikirkan tentang hukum hakam.
Memang menjadi satu keseronokan apabila kita boleh mendedahkan aib orang lain atau menjatuhkan maruah orang lain di hadapan khalayak. Tetapi bagi seorang Muslim kita diajar untuk menjaga kehormatan saudara-saudara kita.
Sabda Baginda Rasulullah:
"Seorang muslim itu saudara bagi muslim yang lainnya. Tidak boleh menzaliminya dan tidak boleh pula menyerahkan kepada orang yang hendak menyakitinya. Barang siapa yang menunaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menunaikan hajatnya. Barang siapa yang melapangkan kesusahan seorang muslim, nescaya Allah akan melapangkan kesusahan-kesusahannya di hari kiamat. Dan barang siapa yang menutupi kesalahan seorang muslim, nescaya Allah akan menutupi kesalahannya kelak di hari kiamat." - [HR Bukhari 2442 dan Muslim 2580].
3. Elak bergurau menghina tubuh badan
Body shaming atau ejekan tubuh boleh didefinisikan sebagai perbuatan memalukan seseorang atau melalui menghina fizikal bentuk tubuh, warna kulit, penampilan, pekerjaan serta kekurangan dialami mereka.
Body shaming bukanlah sesuatu yang baru. Ia telah menjadi barah dalam masyarakat kita yang mana baru-baru ini kita telah disajikan dengan berita seorang influencer telah mengejek serta memaki-hamun secara terang-terangan di media sosial.
Terdapat satu hadis yang mana secara ringkasnya telah diceritakan bahawa Baginda Nabi pernah menegur seorang sahabat yang mentertawakan Abdullah Ibnu Mas’ud yang memiliki betis yang kecil.
Baginda Rasulullah bersabda dengan maksud:
“Demi Dzat yang jiwaku berada di tangannya, sungguh kedua-dua betis itu lebih berat di atas timbangan daripada Gunung Uhud” - [HR Ahmad 3991].
Hadis ini secara jelas menerangkan perbuatan menghina fizikal sesorang adalah dilarang dan ditegah sama sekali. Walhal sahabat tidak mengeluarkan kata-kata hinaan dan hanya ketawa sahaja. Ia adalah haram dan mereka terus ditegur oleh Rasulullah.
Ejekan tubuh satu isu, isu lainnya adalah bahasa yang digunakan adalah tidak selesa didengar dan tidak menzahirkan peribadi muslim yang baik.
4. Menipu jangan jadikan gurauan
Menipu merupakan satu perkara yang ditegah dalam Islam. Menipu untuk mendapatkan perhatian manusia dan untuk menghiburkan manusia lain adalah perkara yang dilarang dalam Islam.
Sabda Baginda Rasulullah:
"Celakalah orang yang berbicara kemudian berbohong agar orang lain mentertawakannya, celakalah dia, celakalah dia." - [HR Ahmad 19200].
5. Dilarang menakutkan orang lain
Gurauan sebegini sudah sinonim dalam budaya masyarakat kita dan akan mendapat perhatian. Tetapi gurauan sebegini merupakan satu gurauan yang ditegah dalam Islam kerana boleh menyebabkan keburukkan kepada orang lain.
Sabda Baginda Rasulullah:
"Tidak halal bagi seorang muslim menakut-nakutkan sesama saudaranya yang muslim." - [HR Abu Daud 4351].
Maka berpada-padalah dalam bergurau-senda dan Baginda Rasulullah ingatkan bahawa banyaknya ketawakan menyebabkan hati seseorang itu mati.
"Janganlah kalian banyak tertawa, kerana banyak tertawa akan mematikan hati." - [HR Ibnu Majah 4183]