SEMBAH IBLIS: " Ya Nabi Allah ..Tuan hambalah musuh hamba yang terlebih besar daripada segala seteru hamba yang berada di atas muka bumi ini."
Maka Nabi pun memandang muka Iblis itu, maka Iblis pun mengeletar seluruh tubuhnya ketakutan. Katanya: "Ya Khatamil Anbiya akan hal hamba ini dapat menjadikan diri hamba sebarang rupa manusia, binatang dan lain lain hingga suara pun sedikit tidak bersalahan, dikecualikan sifat tuanhamba sahaja yang tiada dapat hamba serupakan,kerana ditegah oleh Tuhan. Jika hamba menjadikan diri seperti tuanhamba, nescaya terbakarlah diri hamba menjadi abu. Ya Nabi Allah kerana apa hamba cabutkan iktikad anak Adam supaya mereka itu menjadi kafir ialah sebab tuan hamba bersungguh- sungguh memberi nasihat memasukkan beberapa pengajaran kepada sekalian manusia supaya kuat mereka itu berpeluk kepada agama Islam, begitulah hamba bersungguh- sungguh menarik mereka itu kepada kafir dan murtad dan munafik. Hamba tarik sekalian umat Islam supaya meninggalkan jalan yang lurus beralih kepada jalan yang salah dan hamba harap supaya mereka itu masuk ke dalam neraka bersama- sama dengan hamba kekal di dalamnya selama lamanya.
SEMBAH IBLIS: "Adalah sekalian itu anugerah dari Tuhan Yang Maha Besar jua. Akan tetapi hawa nafsu dan takabbur khianat itulah yang telah menceburkan diri hamba kepada sebesar- besar kejahatan kerana tuan hamba terlebih tahu bahawa hamba ini telah beribu- ribu tahun menjadi ketua segala Malaikat berbuat sujud kepada Tuhan di dalam dunia ini dan pangkat hamba pun dinaikkan dari satu langit kepada satu langit dengan aman kemudian hamba pun diam di dalam dunia ini berbuat ibadat bersama sekalian Malaikat berkhidmat kepada Tuhan beberapa lamanya. Maka tiba- tiba datang firman Allah SWT kepada hamba sekalian hendak menjadikan seorang khalifah (raja) di dalam dunia ini, maka hamba pun membantah tiada suka berkhalifah atau beraja.
Kemudian Tuhan menjadikan seorang lelaki (Nabi Adam alaihis salam) maka dititah hamba sekalian Malaikat memberi hormat kepada Adam itu, hanya hamba seorang sahaja yang tiada hendak sujud kepadanya dan hamba ingkar akan hukum-Nya (Allah), maka hamba pun kena murka Tuhan lalu dihalaunya serta dilaknat hamba hinggalah Hari Kiamat. Maka wajah hamba yang bercahaya dan molek itu telah terhapus dan menjadi hodoh dan keji, maka sakitlah hati hamba dan sentiasa hamba menaruh dendam kepadanya.
Kemudian Adam pun diangkat oleh Tuhan dijadikannya raja di dalam syurga serta dikurniakan seorang isteri (Siti Hawa) dan dijadikannya permaisuri yang memrintah sekalian bidadari, maka sentiasalah ia di dalam kesukaan dan kesenangan. Hamba pun bertambah- tambah hasad dengki kepada keduanya dan menaruh khianat kepadanya. Akhirnya dapat juga hamba tipu kepadanya melalui Siti Hawa yang memberi nasihat ia (Adam) supaya memakan buah khuldi larangan Tuhan. Maka daripada perempuan (Hawa) itulah Adam termakan buah larangan itu lalu kena halau keduanya dari syurga turun ke dunia bercerai kedua suami isteri itu beberapa lamanya kemudian dipertemukan oleh Tuhan dengan selamatnya hingga mereka mendapat beberapa orang anak lelaki dan perempuan. Kemudian kami hasut pula anak lelakinya yang bernama Qabil supaya membunuh abangnya yang bernama Habil hingga mati. Itupun tidak juga hamba berpuas hati hingga hamba lakukan berbagai tipu daya di atas sekalian anak cucunya hingga hari Kiamat, (tetapi) tuan hamba telah membatalkan dan menghalang sekalian pekerjaan hamba kerana tuan hamba menarik mereka itu supaya berpeluk kepada agama islam.
Ada pun sebelum tuan hamba zahir ke dunia ini dapatlah hamba seru sekalian bala tentera hamba naik ke langit dengan mudahnya mencuri segala rahsia dan tulisan- tulisan yang menyuruh manusia berbuat ibadat yang akan mendapat balasan pahala dan syurga, demikian jua mereka yang ibadat waktu jauh malam mendapat setinggi- tinggi pahala. Apakala hamba turun ke dunia, maka hamba khabarkan kepada sekalian mereka itu dengan bersalahan daripada asalnya dengan berbagai- bagai tipu daya hingga tersesat mereka itu dengan memegang kitab- kitab yang bidaah dan karut- karut, tetapi tuan hamba zahir ke alam dunia ini, maka tiadalah dibenarkan oleh Allah akan hamba ini naik ke langit lagi dan tiadalah hamba mendapat apa- apa rahsia umat tuan hamba kerana banyak Malaikat menjaga di pintu tiap- tiap lapisan langit itu dan jika hamba berkeras juga naik ke langit maka dipanah oleh Malaikat itu dengan anak panah daripada api yang menyala- nyala. Maka beberapa banyak bala tentera hamba daripada jin syaitan yang telah kena lontaran Malaikat itu lalu terbakar sekalian badannya menjadi abu.
Maka besarlah kesusahan hamba dan bala tentera hamba menjalankan hasutan, tambahan pula beberapa tuan hamba mengeluarkan mukjizat yang besar- besar di hadapan sekalian raja- raja dan di hadapan mata khalayak ramai."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Apakah perbuatan mu kepada makhluk Allah?"
SEMBAH IBLIS: "Ya Nabi Allah, Iaitu satu kemajuan bagi perempuan- perempuan yang merenggangkan kedua pehanya kepada lelaki yang bukan suaminya dan setengahnya hingga mengeluarkan benih yang bersalah- salahan sifatnya dan hamba goda segala manusia supaya meninggalkan sembahyang dan supaya leka dengan makan minum dan berbuat derhaka, setengahnya hamba lalaikan dengan harta benda daripada emas, perak dan rumahnya dan kebun ladangnya supaya hasilnya dibelanjakan di atas segala pekerjaan yang haram. Bahawasanya telah banyak lelaki dan perempuan yang terpesong imannya lalu hamba kerahkan segala bala tentenra hamba daripada jin, iblis, syaitan menarik mereka itu kepada jalan derhaka. Demikian juga pada masa bermain temasya yang bercampur lelaki dan perempuan, maka di situlah hamba lepaskan sebesar- besar goda supaya hilang maruah mereka itu hingga meminum arak lagi menarik seorang taulannya dipaksa menyuruh minum arak. Apabila arak telah diminum maka hilanglah akal dan fikirannya serta malunya lalu hamba hulurkan tali cinta asyik jadi terbukalah beberapa pintu maksiat yang besar- besar, maka datang dengki hasad hingga membawa pada pekerjaan zina.
Maka apabila telah terjadi kasih antara keduanya, maka terpaksalah mereka mencari wang dengan jalan tipudaya dan mencuri dan apabila mereka teringat atas kesalahannya itu lalu hendak bertaubat atau hendak membuat amal ibadat maka hamba halang supaya mereka itu bertangguh dan bertempoh pada sekalian pekerjaan yang kebajikan serta hamba goda bertambah- tambah keras supaya melazimkan maksiat itu dan mengambil isteri orang. Maka beberapa banyak umat- umat tuan hamba yang telah hamba sesatkan dengan jalan ini serta beberapa jin, syaitan dan iblis hamba suruh menghasut seluruh anggotanya hingga ke dalam badannya.
Apabila kena goda pada hatinya, maka sentiasalah mereka itu riyak dan takabbur, hairan akan dirinya dan melengah- lengahkan amalnya dan sombong. Apabila kena goda pada lidahnya, maka sentiasalah mereka gemar berdusta, mencela, mengumpat- umpat satu sama lain. Demikianlah hamba menghasut mereka itu siang dan malam, pagi dan petang..."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis ! Apa pula yang terlebih dahulu engkau menipu segala manusia ?"
SEMBAH IBLIS: "Pertama tama sekali hamba palingkan imannya supaya berpaling iktikadnya kepada kafir samada pada perkataan atau perbuatannya,kelakuannya atau hatinya. Maka jika tiada berpaling juga dengan cara begitu,maka hamba tarik pula kepada jalan yang mengurangkan pahalanya supaya lama kelamaan mereka akan terjerumus juga mengikut kemahuan hamba."
SOAL NABI SAW: "Jikalau umatku membaca Quran dengan kerana Allah, apakah yang engkau rasa ?"
SEMBAH IBLIS: "Jika mereka membaca al Quran kerana Allah maka terbakarlah rasa tubuh hamba dan putus- putus segala urat hamba maka larilah hamba daripadanya."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis ! Jika umatku mengerjakan haji kerana Allah, apakah yang engkau rasa ?"
SEMBAH IBLIS: "Telah binasalah diri hamba dan gugurlah segala daging tulang hamba kerana mereka itu mencukupkan rukunnya."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis ! Apabila umatku berdiri sembahyang betapa hal engkau ?"
SEMBAH IBLIS: "Masa itulah sebesar- besar kesusahan bagi diri hamba. Gementarlah seluruh badan hamba dan lemahlah tulang sendi hamba, maka pada waktu itu hamba suruhkan sekalian syaitan iblis mengoda orang yang hendak sembahyang pada tiap- tiap manusia itu dengan berpuluh- puluh iblis datang mengodanya setengahnya pada anggotanya supaya malas sembahyang dan setengahnya masuk pada hatinya supaya was- was di dalam sembahyangnya dan terlupa beberapa bilangan rakaatnya dan berbimbang pada pekerjaan dunia dan hatinya hendak bersegera- segera keluar dari sembahyangnya, dan setengah iblis masuk kedalam mata orang yang hendak sembahyang supaya ia tiada khusyuk yakni tiada hadir hatinya di dalam sembahyang atau menjeling ke kanan dan ke kiri di dalam sembahyang itu tiadalah tetap hatinya dan hilanglah khusyuknya.
Dan setengah iblis masuk ke dalam telinganya supaya orang sembahyang itu memasang telinga mendengar orang yang bercakap dan mendengar suara bunyi bunyian dan sebagainya yang sia- sia dan setengah iblis duduk pada belakangnya supaya orang yang sembahyang itu tiada kuasa lama- lama duduk di waktu sujudnya atau di waktu tahiyatnya dan di dalam hatinya berkehendak segera habis sembahyangnya kerana demikian itu adalah membawa kepada kurang dapat pahala sembahyang. Maka sekiranya sekalian iblis itu tiada dapat mengoda yang demikian itu nescaya sekalian mereka itu hamba hukumkan dengan seberat- berat hukuman."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku berpuasa dengan kerana Allah apakah yang engkau rasa?"
SEMBAH IBLIS: "Ya Nabi Allah, inilah suatu bencana yang amat besar bahayanya kepada hamba kerana apabila masuk malam awal bulan Ramadhan, maka memancarlah cahaya Arasy dan Kursi dan segala Malaikat menyambut dengan kesukaan. Bagi orang-orang yang berpuasa mendapat sebesar- besar kurnia Allah Taala yang mengampuni segala dosa yang telah lalu dan digantikan dengan pahala yang amat besar dan tiada ditulis segala kesalahannya selama ia berpuasa, tambahan lagi yang menghancurkan hati hamba ialah segala isi langit, bulan dan bintang dan Malaikat hinggakan burung- burung dan ikan- ikan yang di dalam laut dan ikan air tawar demikian juga tiap- tiap yang bernyawa di atas muka bumi semuanya mendoakan siang dan malam memintakan ampun bagi orang yang berpuasa itu iaitu dimerdekakan dari azab api neraka, demikian lagi telah ditutup segala pintu- pintu neraka dan dibuka segala pintu- pintu syurga yang lapan dan menghembus angin yang bawah Arasy yang bernama angin syirah yang amat lembut melalui ke dalam syurga.
Maka pada hari dimulai umat tuan hamba berpuasa itu datanglah segala malaikat dengan garangnya tiada membilang lawan lakunya menangkap hamba dengan perintah Tuhan serta ditangkap segala tentera hamba jin syaitan dan ifrit dipasungnya kaki dan tangannya dengan besi panas dan dirantai hamba menunggu hingga selesai umat tuan hamba daripada berpuasa itu baharulah hamba dilepaskan supaya jangan hamba mengacau mereka itu dan umat tuan hamba sendiri telah merasa kesenangan puasa sebagaimana mereka bekerja untuk makan sahur waktu tengah malam seorang diri sekalipun tiada sedikit merasai takut seperti malam malam lain."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Sekalian sahabatku itu betapa kepada engkau dan bagaimana halnya?"
SEMBAH IBLIS: "Ya Nabi Allah, adalah sekalian sahabat tuan hamba itu ialah sebesar- besar seteru kepada hamba, kerana tiada upaya hamba melawannya dan tiada dapat masuk suatu tipudaya hamba kepada mereka itu, kerana tuan hamba telah berkata bahawa sekalian sahabatku itu adalah seperti bintang di langit, jika kamu mengikut akan mereka nescaya kamu akan mendapat petunjuk. Ya Nabi Allah , sekalian sahabat tuan hamba itu sangat taat mengerjakan perintah tuan hamba lagi setia dan bersungguh- sungguh menyiarkan syariat tuan hamba kepada sekalian manusia daripada Quran dan Hadis. Ada pun Sayidina Abu Bakar al Sidiq bin Abi Qahafah itu sebelum bersama dengan tuan hamba, maka hamba tiada dapat hampir kepadanya apa lagi pula ia telah mendampingi dirinya kepada tuan hamba dan kuat menyaksikan atas kebenaran tuan hamba hingga ia telah menjadi wazirul a'zim dan tuan hamba telah berkata bahawa kiranya ditimbang kebajikan Abu Bakar dengan amal kebajikan sekalian isi dunia nescaya lebih berat amal kebajikan Abu Bakar, tambahan pula ia menjadi mertua kepada tuan hamba kerana berkahwin dengan anak perempuannya Saiyidatina Aisyah itu, beliau banyak menghafaz hadis tuan hamba.
Adapun sahabat tuan hamba Sayidina Umar al Khattab, tiada berani hamba pandang mukanya kerana ia sangat keras menjalankan hukum syariat tuan hamba dengan saksama. Jika hamba terpandang mukanya maka gementarlah segala tulang sendi hamba daripada sangat takut hamba kepadanya kerana imannya yang sangat kuat apa lagi tuan hamba telah bersabda: "bahawa kiranya ada nabi kemudian daripada aku nescaya Umar al Khattab boleh menggantikannya." kerana ianya seorang harapan yang besar kepada tuan hamba dan ia juga pandai membezakan iman dan kafir hingga digelar akan dia "Umar al Faruq".
Ada pun sahabat tuan hamba Sayidina Uthman bin Affan itu lebih lebih lagi tiada boleh hampir kepadanya, kerana lidahnya sentiasa bergerak membaca Quran siang dan malam, pagi dan petang. Dialah penghulu segala orang yang sabar dan penghulu segala orang yang mati syahid lagi menjadi menantu kepada tuan hamba dua kali. Kerana sangat taatnya hingga datang kepadanya beberapa Malaikat mengunjungi kepadanya dengan hormat takzimnya, kerana sekalian Malaikat itu sangat malu hingga tuan hamba berkata: "Barang siapa yang menulis Bismillaahir rahmaanir rahim pada kitab- kitab atau kertas- kertas dengan dakwat merah, nescaya mendapat pahala baginya seperti pahala Uthman mati syahid."
Adapun sahabat tuan hamba Sayidina Ali bin Abi Talib itu hamba sangat takut kepadanya kerana hebat kelakuannya dan dahsyat melihat gagah perkasanya di medan peperangan merempuh segala musuh. Maka apabila Iblis, syaitan dan jin memandang mukanya nescaya terbakarlah kedua biji matanya kerana ia sangat kuat mengerjakan perintah Tuhan dan ia adalah pertama- tama kanak- kanak yang masuk islam dan ia juga tiada menundukkan kepalanya kepada sebarang berhala, sebab itulah juga ia digelar "Ali karramallahu wajhahu" (Dimuliakan Allah akan wajahnya) dan disebut jua akan dia Harimau Allah dan tuan hamba telah berkata "Akulah negeri segala ilmu dan Ali itu pintunya." tambahan lagi ia telah menjadi menantu tuan hamba terlebih lagi hamba ngeri kepadanya."
SOAL NABI SAW: "Bagaimanakah tipudaya engkau kepada umatku?"
SEMBAH IBLIS: "Adalah umat tuan hamba itu ada 3 macam :
( 1 ) Seperti air hujan dari langit yang menghidupkan segala tumbuh- tumbuhan lagi banyak manfaatnya dan pertolongan kepada yang lainnya iaitu guru- guru yang memberi nasihat kepada manusia supaya mengerjakan perintah Allah dan menjauhi segala tegahannya dan kata Jibril a.s: "Adapun para ulama itu pelita dunia dan pelita akhirat."
( 2 ) Umat tuan hamba itu seperti tanah iaitu sabar, syukur dan redha akan kurnia Tuhan kepadanya serta berbuat amal yang saleh dan tawakal kepada Allah dan banyak berbuat kebajikan.
( 3 ) Umat tuan hamba itu keadaannya seperti Firaun terlampau sangat tamak dengan harta dunia dhilangkan amal akhirat. Maka sukacita lah hamba kepadanya lalu hamba masuk kedalam tubuhnya, hamba putar hatinya menuju lautan derhaka. Apabila sudah tetap ke jalan kejahatan hamba bawa ke mana kehendak hamba pergi, jadi sentiasa ia bimbang kepada dunia dan tiada suka menuntut ilmu, dijadikan dirinya tiada kelapangan pada beramal dan tiada mengeluarkan zakat hartanya dan setengah yang miskin apabila hendak beribadat, hamba goda ia agar kaya dahulu, maka apabila dimakbulkan oleh Allah kesenangan, maka dilupakannya berbuat amal, tiada mahu mengeluarkan zakat hartanya seperti Qarun dengan mahligainya dan dirinya serta harta bendanya habis terbenam ke dalam bumi kerana ia tidak mahu membelanjakan pada tiap- tiap jalan yang memberi kebajikan dan jika terkena sakit tiada sabar, ia sentiasa bimbang hatinya akan hartanya dan setengahnya yang kaya asyik dengan berebut dunianya, cakap besar sesama Islam dan benci kepada orang miskin dan menghinakan kepada mereka itu dan gemar mengeluarkan hartanya kepada berbagai bagai jalan yang maksiat dan menaburkan hartanya kepada perempuan- perempuan jahat dan tempat- tempat judi dan pesta."
SOAL NABI SAW: "Siapa pula serupa dengan engkau wahai Iblis ?"
SEMBAH IBLIS: "Iaitu orang yang meringankan syariat tuan hamba dan yang membenci orang orang belajar agama Islam."
SOAL NABI SAW: "Apa pula rahsia engkau kepada umatku ?"
SEMBAH IBLIS: "Jika seorang islam hendak pergi buang air besar, jika tiada membaca doa pelindung syaitan kepada Allah. Nescaya hamba gosokkan najis itu kepada tubuhnya dengan tiada ia sedari sekali- kali.
(Inilah doa pelindung daripada syaitan dibaca sebelum sampai ke tandas.)
(بسم اللہ اللہم إني أعوذبگ من الخث والخباٸث)
Jika masuk ke tandas dahulukan kaki kiri dan jika keluar dari tandas dahulukan pula kaki kanan. Apabila jauh daripada tandas 4-5 langkah dibaca di dalam hati:
(غفرانگ الحمدللہ الذي اذھب عني الاذي وعافاني)
Apabila sudah bersuci dibaca:
(اللہم طھرا قلبي من النفاق وحصن فرجي من الفواحش)
maka jika dibaca doa tersebut larilah hamba."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku bersatu dengan ahlinya, apa hal engkau?"
SEMBAH IBLIS: "Jika seseorang hendak bersetubuh dengan isterinya, jika ia membaca:
اعوذ باللہ من الشيطان الرجيم اللهم جنبنا الشيطان وجنب الشيطان ما رزقتنا
Maka larilah hamba daripadanya. Maka jika tiada ia membaca doa tersebut dengan isterinya, maka bercampurlah benih hamba dengan benih isterinya dan jika ia menjadi anak maka gemar anak itu pada pekerjaan maksiat dan malas pada jalan kebajikan dengan sebab lali dan alpa ibu bapanya. Demikian lagi jika mereka makan dan minum jika tiada mereka membaca Bismillah maka hamba yang mendahului makanan dan minuman daripadanya..maka makanlah ia padahal tiada kenyang."
SOAL NABI SAW: "Dengan jalan apa yang boleh menolak tipudaya engkau?"
SEMBAH IBLIS: "Iaitu jika seseorang berbuat dosa, maka segeralah ia kembali bertaubat kepada Allah dan menangis serta sesal akan perbuatannya dan apabila ia marah segeralah ia mengambil air sembahyang nescaya padamlah marahnya."