Hukum Membongkar Kubur
HUKUM HARAM:
Haram membongkar mayat yang telah ditanam dan masih belum hancur kerana hendak memindahkannya ke tempat lain, jika ke negeri mekah sekalipun, atau kerana hendak mengafan atau menyembahyangkannya.
HUKUM WAJIB:
Wajib membongkar kuburnya, jika ia semasa ditanam dahulu tidak dimandikan atau ditayamumkan, supaya ia dimandi dan ditayamumkan.
Wajib juga dibongkar kuburnya untuk membetulkan letak si mati itu mengadap kiblat.
Dan banyak lagi sebab² yang mewajibkan supaya sesebuah kubur itu di bongkar seperti yang dihuraikan dalam kitab² fiqh.
Hukum Menangis dan Meraung Semasa Kematian
Bersedih hati dan menangis semasa ditimpa kemalangan atau semasa kematian orang yang dikasihi tidak dilarang oleh syarak dan tidak menjejaskan sikap sabar, malah tidak dapat dipisahkan dari tabiat semulajadi manusia yang berhati mulia dan berperasaan belas kasihan.
Rasulullah s.a.w sendiri menangis dan bersedih hati semasa kematian anakndanya Ibrahim sambil bersabda:
"Sesungguhnya mata bergenang dengan air mata, dan hati bersedih hiba, dalam pada itu, kami tidak mengatakan melainkan apa yang diredhai oleh Tuhan kami, dan sesungguhnya kami adalah bersedih hati dengan sesedih sedihnya dengan sebab bercerai denganmu, wahai Ibrahim."
(Hadis Sahih-Riwayat Bukhari)
(Kitab Fathul Bukhari)
Tentang hadis yang menerangkan: "bahawa si mati akan disiksa dengan sebab ia ditangisi oleh keluarganya" maka alim ulama' rahimahullah menjelaskan,
Kalau si mati semasa hidupnya berwasiat supaya ia diratapi dan diraung raungkan (seperti yang biasa dilakukan dalam zaman jahiliyah dahulu), maka si mati akan menerima akibatnya yang buruk, kerana perbuatan yang berdosa itu dilakukan dengan permintaannya dan persetujuannya.
Tetapi kalau ia tidak bersetuju semasa hidupnya,maka ia tidaklah berdosa. Yang berdosa ialah keluarganya yang melakukan perbuatan yang haram itu.
(Kitab Al-Fathul Rabbani)