عَنِ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُماَ، أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّی اللّٰهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: "أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِلَيْلَةٍ أَفْضَلَ مِنْ لَيْلَةِ الْقَدْرِ؟ حَارِسٌ حَرَسَ فِي أَرْضِ خَوْفٍ، لَعَلَّهُ أَنْ لَا يَرْجِعَ إِلَی أَهْلِهِ"
Maksudnya: Daripada Abdullah ibn Umar RA, sesungguhnya Nabi SAw pernah bertanya: "Hendakkah kamu aku khabarkan tentang satu malam yang lebih baik daripada Lailatul Qadar? (Iaitu malam) seorang lelaki yang berkawal di kawasan yang menakutkan dan berkemungkinan dia tidak mampu pulang ke pangkuan keluarganya." (Mustadrak al-Hakim - menurut al-Hakim hadis ini adalah sahih berdasarkan syarat al-Bukhari)
Ulasan: Perhatikan di sini bagaimana Rasulullah SAW memuji mereka yang menjaga kselamatan tanahair dalam keadaan ummah sedang dilanda kebimbangan dan ketakutan. Malah Rasulullah SAW membayangkan kepada kita bahawa ganjaran yang diperolehi lebih besar dari malam Lailatul Qadar. Hadis ini turut menjelaskan kepada kita bahawa keperluan rakyat itu lebih utama daripada amalan ibadah yang merupakan keperluan peribadi. Dengan sebab itu Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang lain:
وَلَأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِي فِي حَاجَةٍ أََحَبُّ إِلَیَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ (يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ) شَهْرًا
"Aku lebih suka untuk berjalan bersama saudaraku yang memerlukan (sesuatu keperluan) daripada aku beriktikaf bersendirian selama sebulan di Masjid ini (iaitu Masjid Nabawi).
(HR al-Tabrani)
Sumber: 40 Hadis Tentang Wabak Penyakit
Dr. Ahmad Sanusi Azmi