Sumber: blog
Dalam Al-Quran, kita banyak mendapati perintah dan janji Allah kepada orang bertakwa. Janji Allah itu pasti, sebagai balasan yang diberikan kepada orang-orang yang bertakwa.
1. Allah menyertai orang-orang yang bertakwa.
Hal ini sebagaimana firman-Nya dalam Al-Qur’an. “Bertakwalah kepada Allah dan ketahuilah bahawa Allah beserta orang-orang yang bertakwa.“ [QS. Al-Baqarah: 194].
2. Mendapat ilmu laduni.
Allah yang Maha Mengetahui akan memberikan ilmu dan pengajaran kepada orang-orang yang bertakwa. Oleh sebab itu, orang yang bertakwa tidak akan resah dalam segala masalah hidup yang ia hadapi kerana Allah akan membukakan pengetahuan dan ilmu kepadanya. Sehingga hidupnya selalu diliputi ketenangan karena iman dan takwanya kepada Allah Swt.
Allah berfirman, “Dan bertakwalah kepada Allah, Allah memberikan pengajaran kepadamu, dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. [QS. Al-Baqarah: 282].
3. Mendapat pemahaman atau penjelasan ketika menghadapi permasalahan yang meragukan atau membingungkan. Selain itu, orang yang bertakwa juga mendapatkan penebusan atas kesalahan yang dilakukan dan pengampunan atas dosa-dosa.
Firman Allah Swt. “Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan furqan (kemampuan membezakan antara yang hak dan batil) kepadamu dan menghapus segala kesalahanmu dan mengampuni (dosa-dosa)mu. Allah memiliki kurniaan yang besar”. [Qs. Al-Anfal: 29].
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Allah akan menghapus kesalahan-kesalahannya dan akan melipatgandakan pahala baginya.” [QS. Ath-Thalaq: 5].
4. Terpelihara dari beban hidup, mendapatkan rezeki senantiasa tanpa terduga-duga.
Orang bertakwa akan senantiasa hidup dalam kemudahan dan mendapat pahala yang mulia pula. Seberat apapun beban hidup yang sedang ia hadapi, ia tetap yakin dengan sepenuh hati bahawa janji Allah itu pasti. Maka dengan izin Allah, ia akan menemukan jalan keluar dari setiap masalah serta mendapati datangnya rezeki dari jalan yang tak disangka-sangka.
“Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya”. [QS. Ath-Thalaq ayat 2-3].
“Dan barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia menjadikan kemudahan baginya dalam urusannya”. [QS. At-Thalaq: 4].
5. Selamat dari neraka jahanam.
Perintah dan janji Allah kepada orang bertakwa ini untuk kehidupan di akhirat kelak. Bagi mereka yang bertakwa, Allah berjanji akan menyelamatkannya dari siksa api neraka.
Allah Swt. berfirman, “Kemudian Kami akan menyelamatkan orang-orang yang bertakwa dan membiarkan orang-orang yang zalim di dalam (neraka) dalam keadaan berlutut”. [QS. Maryam: 72].
6. Dijanjikan syurga yang penuh kenikmatan di sisi-Nya.
Seterusnya janji Allah kepada orang yang bertakwa. Yakni, syurga yang penuh kenikmatan di sisi-Nya.
Allah berfirman, “Sungguh, bagi orang-orang yang bertakwa (disediakan) syurga yang penuh kenikmatan di sisi Tuhannya”. [QS. Al-Qalam: 34].
7. Menjadi orang paling mulia di antara semua umat manusia di hadapan Tuhannya.
Inilah salah satu keutamaan ajaran Islam yang tidak membeza-bezakan manusia atas dasar kaum, suku, golongan, strata sosial, ekonomi, dan sebagainya. Dalam Islam, setiap orang semua manusia sama rata di hadapan Allah Swt., kecuali orang yang bertakwa.
“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti”. [Qs. Al-Hujurat: 13]
Wallahu a'lam.