SEMBAH IBLIS: "Suara orang yang bernyanyi dan berpantun seloka serta suara bunyi-bunyian kecuali orang yang bernyanyi, berpantun, bernazam memuji Tuhan, bernasyid serta berselawat ke atas Nabi Rasulullah SAW."
SEMBAH IBLIS: "Orang yang menipu harta orang dan memakan harta anak yatim serta memakan riba."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Sebab apakah engkau gelapkan hati manusia?"
SEMBAH IBLIS: "Mereka makan dan minum dengan (punca) mata pencarian yang haram kerana mereka buta dalam mencari harta yang halal serta mereka banyak tidur sehingga matahari tinggi dan meninggalkan solat subuh serta memenuhi perutnya dengan kenyang sekali."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Siapakah yang mengembirakan hati engkau?"
SEMBAH IBLIS: "Orang kaya yang bakhil dan orang yang tidak mengeluarkan zakat untuk hamba Allah yang dhaif, malah zakatnya dihantar kepada orang lain padahal kaumnya miskin, kerana orang yang bakhil itu seteru Allah SWT serta orang yang tidak mengeluarkan zakat itu akan masuk ke dalam neraka yang paling bawah bersama-sama dengan hamba.."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Siapakah yang menyuburkan badan engkau?"
SEMBAH IBLIS: "Orang yang berhasad dengki dan orang yang tidak memperlajari hukum Islam serta semua perempuan yang jahat dan perempuan yang merosakkan dirinya serta perempuan yang menjual maruahnya."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika seorang ulama meninggal dunia, bagaimanakah keadaanmu?"
SEMBAH IBLIS: "Telah subur dan bertunaslah hasutan hamba dan pekerjaan hamba."
(Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa yang berdukacita di atas kematian seorang ulama', maka dituliskan Allah SWT pahala seribu ulama dan seribu syuhada."
Sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Akan datang atas umatku yang melarikan diri dari ulama atau mereka yang membenci golongan yang mengajar agama, maka diberikan Allah SWT tiga jenis bala ke atas mereka (yang membenci atau melarikan diri dari ulama dan seumpamanya)
(1) Dihilangkan keberkatan dalam pencarian rezeki,
(2) Didatangkan Allah SWT ke atas mereka seorang ketua yang zalim atau raja yang zalim,
(3) Dikeluarkan (dimatikan) mereka daripada dunia dengan tidak beriman.)"
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku bersolat jemaah, bagaimanakah keadaanmu?"
SEMBAH IBLIS: "Sesungguhnya segala simpulan (tali pengikat) tipu daya hamba telah mereka leraikan."
(Maka sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barangsiapa solat 5 waktu, maka dia akan mendapat 5 perkara:
1) Tidak akan terkena pada dirinya kefakiran (kemiskinan),
2) Diangkatkan darinya siksa kubur oleh Allah SWT,
3) Dianugerahi orang itu dengan kitab tulisannya (perbuatan di dunia) pada sebelah kanan (pihak yang selamat),
4) Melalui titian (Siratul Mustaqim) di atas neraka sepantas kilat,
5) Dimasukkannya Allah SWT ke dalam syurga tanpa sebarang hisab dan tanpa sebarang siksaan.
Sabda Nabi SAW lagi yang bermaksud: "Solat lelaki berjemaah lebih baik daripada solat 40 tahun di rumahnya seorang diri dan solat berjemaah itu mendapat 27 darjat, serta solat berjemaah di rumahnya bersama anak-anak dan isterinya akan mendapat pahala haji dan umrah)
."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku berselawat ke atasku bagaimanakah keadaanmu?"
SEMBAH IBLIS: "Mereka telah membelah muka hamba disebabkan ingatan kuat terhadap Tuan hamba."
(Maka sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barangsiapa berselawat ke atasku, maka para malaikat memohon diampunkan (segala dosanya) dia dan dia adalah sebahagian daripada isi syurga.")."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku bersolat hari raya di masjid, bagaimana keadaanmu? Kerana Allah SWT telah berfirman, "Hai sekalian malaikat! Saksikanlah olehmu bahawa sesungguhnya telah Aku ampunkan sekalian dosa umat Muhammad, lelaki dan wanita, maka apabila telah selesai dari solat dan khutbah dibacakan, maka firman Allah SWT,: "Hai umat Muhammad! Pulanglah kamu ke rumah masing-masing, sesungguhnya Aku telah mengampunkan dosa kamu yang terdahulu dan yang kemudian dan Aku telah gantikan dosamu itu dengan kebajikan!."?"
SEMBAH IBLIS: "Ya Rasulullah! Apabila umat Tuan hamba pergi (untuk) bersolat hari raya,maka hamba sangat berdukacita dan kesal. Maka hamba pun menjerit sehingga datang sekalian bala tentera hamba dan (mereka) bertanya,: "hai raja kami! Siapakah yang engkau marah? Adakah ianya (puncanya) dari langit atau bumi? Perintahkanlah kami sekalian pergi membinasakan barang di langit dan bumi. Maka hamba menjawab,: "hai bala tenteraku! Apa yang menyebabakan aku berdukacita ialah kerana Allah SWT telah mengampuni umat Muhammad pada hari raya ini. Wahai sekalian bala tenteraku! Tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah SWT telah memberkati puasa umat Muhammad? Dan Tuhan amat mengasihi dan mengasihani mereka dengan penuh rahmat serta diperkenankan segala doa mereka dan diampunkan segala kesalahan dosa mereka? Wahai tenteraku! Hendaklah kamu goda mereka itu supaya malas beramal ibadah dan resah dengan berjalan ke sana ke mari serta asyik berjudi serta bersukaria memuaskan nafsu dengan mengerjakan maksiat supaya datang kemurkaan Tuhan ke atas mereka itu dan ditimpakan bala ke atas mereka kerana dengan demikian, akan membawa kesenangan di dalam hatiku. Maka berangkatlah sekalian bala tentera iblis syaitan untuk menganggu umat Muhammad."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku membaca doa akhir tahun (hijrah), bagaimanakah keadaanmu?"
SEMBAH IBLIS: "Telah bersusah payah hamba menggoda mereka sepanjang tahun ini, tiba-tiba mereka membaca doa (yang hanya) mengambil masa sedikit, maka lemahlah hamba lalu hamba menyapu dengan tanah (dan berkata), 'aduhai celaka! betapa malang dan celaka diriku dengan kerugian, maka hamba pun berpaling (dan) pergi'."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Jika umatku membaca doa awal tahun bagaimanakah keadaanmu"
SEMBAH IBLIS: "Ya Nabiyullah! Putuslah harapan hamba, kerana barangsiapa membaca doa awal tahun, (maka) Tuhan memerintahkan dua malaikat supaya membakar buku kesalahan hambaNya, dan dituliskan kebajikan di dalam (buku kebajikan) disebabkan orang yang membaca doa ini."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Siapa yang menyokong engkau?"
SEMBAH IBLIS: "Orang yang tidak bertaubat atas dosanya dan suka ketawa ketika berbuat dosa berkenaan. Ya Nabiyullah! Telah hamba binasakan ramai manusia dengan (menggoda mereka) mengerjakan dosa daripada berbagai-bagai (jenis) maksiat, maka hamba gembira. Tiba-tiba mereka mengucapkan kalimah-kalimah La ila ha illallah dan istighfar, maka binasalah hamba, kerana pada masa hamba dibuang ke dunia (dulu), hamba mengembara sambil bersiul-siul dan orang yang bersiul itu adalah penghibur iblis syaitan, tetapi orang yang azan itu adalah penghalau iblis syaitan, kerana para malaikat akan hadir bersolat bersama-solat dengan mereka."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Sekarang apa kesudahan ikhtiar engkau di atas umatku, kerana aku telah dibangkitkan Tuhan ke dunia ini bagi menyelamatkan sekalian bani Adam daripada kufur kepada iman, daripada gelap gelita kepada terang benderang?!"
(Maka Iblis pun mengangkat kepalanya ke hadrat Tuhan.)
SEMBAH IBLIS: "Yaa Rabbi! Demi kemuliaan Engkau, sentiasalah hamba akan berusaha dengan bersungguh-sungguh pada menarik sekalian anak Adam kepada berbagai-bagai jalan maksiat selama ada nyawa di tubuh mereka, hamba jadikan pemuda dan wanita bercampur dan berkenalan, supaya hamba dapat mencelah di dalamnya."
(Datanglah firman Allah SWT: "Hai Malaun, demi kebesaran dan ketinggianKu, bahawa Aku sentiasa bersedia untuk mengampuni dosa umat Muhammad selagi mereka itu memohon ampun kepadaKu."
SOAL NABI SAW: "Hai Iblis! Apa lagi yang engkau musykilkan?"
SEMBAH IBLIS: "Ya Rasulullah! Bahawasanya hamba sangat ajaib (hairan) melihat dua macam hal sekalian hamba Allah SWT iaitu:
(1) Mereka itu mengaku kasihkan Tuhan, walhal merrka itu taatkan hamba dan berbuat maksiat,
(2) Mereka itu sangat marah kepada hamba, tetapi mereka menurut hasutan hamba."
Maka datanglah firman Allah SWT: "Hai Malaun! Demi kemuliaan dan kebesaranKu, Aku anugerahi umat Muhammad (dengan) dua kebahagiaan:
(1) Kasih mereka kepadaKu dijadikan kifarah (penebus dosa) bagi maksiat mereka kerana tipudayamu,
(2) Kemarahan mereka kepadamu Aku jadikan kifarah (penebus dosa) perbuatan maksiat mereka kepadaKu."
Maka iblis tercengang-cengang mendengar umat Muhammad yang sangat dikasihi Tuhan GhafuururRahiim yang Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani hambaNya dengan limpahan rahmatNya."
Wallahu a'lam