Sumber: blog
Antara amalan boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi Allah SWT adalah seperti berikut:
Pertama adalah solat. Ibadah solat adalah amalan pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Solat sunat berperanan menyempurnakan kekurangan berlaku atau terdapat pada solat fardu lima waktu. Umat Islam boleh membiasakan diri mendirikan pelbagai solat sunat antaranya solat sunat rawatib, tahajjud dan witir.
Oleh kerana 10 hari awal Zulhijjah ini hari amal ibadah dilakukan padanya paling disukai Allah SWT, maka amalan solat sunat wajar dipertingkatkan dan diperbanyakkan.
Kedua, berpuasa. Ibadah puasa yang juga amalan paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini. Kelebihan berpuasa terdapat di dalam hadis qudsi bermaksud; "Allah SWT berfirman: Semua amal ibadah anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri mengurniakan ganjaran pahala baginya." (HR Bukhari dan Muslim).
Berpuasa menjadi sunnah Nabi SAW seperti hadis bermaksud; "Empat perkara tidak pernah ditinggalkan Rasulullah - puasa Asyura, puasa 10 hari awal Zulhijjah), puasa tiga hari setiap bulan dan dua rakaat sebelum subuh." (HR Nasai)
Ketiga, mengingati Allah SWT. Pada hari sangat dicintai Allah, amalan sangat baik dialukan umat Islam adalah berzikir, bertakbir, tahmid, tasbih dan tahlil.
Segala bentuk amalan mengingatkan kita kepada Allah sangat dituntut seperti maksud hadis Nabi SAW: "Tiada hari lebih agung dan disukai Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, banyakkan tahlil, takbir dan tahmid kepada-Nya." (HR Ahmad).
Keempat, melaksanakan ibadah korban. Ia adalah satu ibadah agung menerusi peristiwa Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.
Terdapat hadis Nabi SAW bermaksud; "Tidak ada amalan dilakukan anak Adam pada hari al-Nahr (Hari Aidiladha) lebih dicintai Allah selain menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkan jiwa kamu (dengan berkorban)." (HR Tirmizi).
Kelima, bertaubat dan memohon keampunan (istighfar) kepada Allah SWT. Setiap umat Islam perlu berterusan melakukan taubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat.
Firman Allah SWT bermaksud; "Dan orang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik." (Surah al-Ankabut, ayat 69).
Keenam, memperbanyakkan berdoa. Hadis Nabi SAW bermaksud; "Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah." (HR Malik). Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Ia waktu berdoa paling mustajab dan paling dekat untuk dimakbulkan.
Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah amalan 'khususiyyat' (perkara dikhususkan) untuk jemaah haji di Arafah bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari, namun umat Islam tidak mengerjakan ibadah haji boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh itu.
Selain amalan dinyatakan di atas, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan terbabit dalam amalan amar makruf nahi mungkar.
Justeru, keistimewaan dan kelebihan Allah SWT kurniakan pada 10 hari awal Zulhijjah ini perlu direbut umat Islam melakukan amal soleh bagi meraih cinta dan kasih sayang Allah SWT.
Wallahu a'lam