Sumber: blog
Ramadhan dikenali dengan kelebihan 10 malam terakhirnya, manakala Zulhijjah pula dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada 10 hari awalnya.
Keistimewaan amalan pada bulan ini selari dengan firman Allah SWT bermaksud: "...dan malam yang 10 (mempunyai kelebihan di sisi Allah)," (Surah al-Fajr, ayat 2).
Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat mengenai 'malam yang 10' itu merujuk kepada 10 malam pertama pada Zulhijjah.
Seterusnya tafsiran itu disokong hadis Nabi SAW bermaksud; "Tidak ada hari yang amal soleh dilakukan lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (di awal Zulhijjah). Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: "Tidak juga berjihad di jalan Allah, melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun." (HR Bukhari).
Al-Hafiz Ibnu Hajar al-'Asqalani mengulas lanjut antara faktor 10 hari awal Zulhijah itu istimewa kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadah utama dan besar nilainya iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, semua ibadah itu tidak pernah terhimpun sebegitu.
Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyah pula menjelaskan kelebihan 10 hari awal Zulhijah ditinjau dari sudut hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari al-Nahr (korban), hari Arafah (9 Zulhijah) dan hari at-Tarwiyah (8 Zulhijah).
Anjuran beramal dalam tempoh masa 10 hari awal Zulhijah bukan bermakna tidak perlu lagi melaksanakan ibadah pada masa lain, namun tempoh itu sebagai titik permulaan proses mendidik diri melakukan pelbagai amal soleh pada masa lain.
Wallahu a'lam