Sumber: blog
PANDANGAN ULAMA BESERTA DALIL
Fatwa Yang Mengharuskan Muzik dan Nyanyian
Terdapat juga sebahagian ulama silam yang mengharuskan alat muzik, antaranya:
Abu Bakar Ibnu al-Arabi setelah membawakan hadith-hadith yang digunakan untuk mengharamkan nyanyian mengatakan tidak ada satu pun dalil yang sahih untuk mengharamkan nyanyian, kerana perawi-perawinya yang tidak tsiqah. Yang lebih sahih ialah riwayat-riwayat tersebut adalah batil. (Rujuk Ahkam al-Qur’an, 3/526)
Ibnu Hazm sewaktu membahaskan hukum nyanyian mengatakan bahawa semua riwayat hadith tentang haramnya nyanyian adalah batil. Tentang ayat 6 surah Luqman yang menjadi pengharaman nyanyian pula, beliau menjelaskan bahawa ayat tersebut menyebutkan satu sifat yang barangsiapa mengerjakannya akan menjadi kafir tanpa diperselisihkan lagi, iaitu apabila dia menjadikan agama Allah SWT sebagai bahan mainan.
Oleh kerana itu, jika seseorang membeli senaskhah al-Quran untuk menyesatkan orang ramai dan menjadikannya sebagai permainan, maka jelas dia adalah kafir. Inilah yang dicela Allah SWT. Allah SWT sama sekali tidak mencela orang-orang yang membeli lahwal hadith itu sendiri yang boleh dipakai untuk hiburan dan menggembirakan hati, bukan untuk menyesatkan orang dari jalan Allah.
Beliau juga mengambil hadith Nabi SAW berkenaan niat untuk menentukan hukum halal dan haram amalan seseorang:
إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: Sesungguhnya semua perbuatan itu harus disertai dengan niat dan tiap-tiap orang akan dinilai menurut niatnya.
Sahih al-Bukhari (1)
Jadi barangsiapa mendengar nyanyian dengan niat untuk bermaksiat kepada Allah SWT, maka jelas dia adalah fasiq, dan ini termasuk semua perkara selain nyanyian. Begitu juga barangsiapa berniat untuk menghiburkan hati supaya dia mampu berbakti kepada Allah SWT dan lebih bersemangat dalam berbuat kebajikan, maka dia adalah orang yang taat dan berbuat baik dan perbuatannya pun termasuk perbuatan yang benar. Dan barangsiapa tidak berniat untuk taat kepada Allah dan tidak juga untuk bermaksiat, maka perbuatannya itu dianggap laghwun sahaja yang diharuskan. (Rujuk Al-Muhalla bil Athar, 7/567)
Syeikh Sulaiman al-Jamal yang mensyarahkan Minhaj al-Tullab karangan Syeikh Zakariyya al-Ansari pula memakruhkan nyanyian tanpa alat muzik, meskipun nyanyian itu dinyanyikan oleh ajnabi atau golonganamrad (remaja lelaki yang kurang sifat kelakian). Namun jika ditakuti timbulnya fitnah atau melibatkan pandangan mata yang diharamkan, maka nyanyian tersebut menjadi haram. Adapun nyanyian ibu untuk menenangkan anaknya atau untuk melajukan pergerakan unta yang ditunggang seperti amalan orang Arab, maka tiada keraguan akan keharusannya. Syeikh Sulaiman turut memetik pandangan Imam al-Ghazali yang menyatakan setiap nyanyian bergantung kepada niat; niat untuk bermaksiat dihukumkan maksiat, ketaatan sebagai ketaatan dan jika tidak berniat apa-apa, maka ia dikira sebagaial-lahwu yang dimaafkan. Manakala nyanyian yang disertai alat muzik, maka ia dikira haram. (Rujuk Hasyiyah Jamal ‘ala Syarh Minhaj al-Tullab, 5/380)
Selain itu terdapat juga pandangan dalam mazhab Syafi’e yang mengharuskan al-‘Uud, atas sebab ia mampu mengurangkan kesedihan dan menyegarkan sisi rohani manusia, dan inilah pandangan Abu Mansur al-Baghdadi. (Rujuk Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj, 10/301)
Terdapat juga riwayat oleh Imam al-Muzani yang menyatakan bahawa pada suatu hari beliau berjalan bersama Imam al-Syafi’e dan menemui seorang hamba wanita sedang menyanyi, dan beliau tidak mengingkarinya, bahkan mendengarnya. (Rujuk Tobaqat al-Syafi’iyyah al-Kubra, 2/77)
Imam Qalyubi pula, meskipun mengharamkan nyanyian selain pada hari perayaan, beliau mengharuskan nyanyian dalam keadaan sakit dengan niat untuk menyembuhkan sakit, dengan syarat ia diakui oleh doktor yang ‘adil. (Rujuk Hasyiyah Qalyubi wa ‘Umairah, 4/321)
Imam al-Qurthubi menukilkan kata-kataal-Qusyairi: Alat-alat muzik dimainkan oleh para wanita dihadapan Nabi SAW untuk mengalu-alukan kedatangan Baginda SAW ke Madinah, dan Abu Bakr RA ingin mengherdik mereka supaya mereka berhenti. Tapi Nabi SAW melarangnya dan berkata: “Biarkan mereka wahai Abu Bakar, supaya orang Yahudi tahu agama kita ini fleksibel dan menyenangkan”. Al-Qurtubi turut menambah bahawa semua alat muzik yang digunakan sewaktu hari perkahwinan adalah diharuskan selagi lirik lagu tidak mempunyai unsur-unsur lucah. (Rujuk Tafsir al-Qurtubi, 14/54)
Imam Ibn Abidin al-Hanafi pula sewaktu membincangkan isu muzik dan nyanyian dalam kalangan golongan sufi telah meletakkan beberapa syarat agar ia selaras dengan syarak: majlis itu tidak mempunyai amrad (budak lelaki yang kurang ciri-ciri kelelakian ), tidak melibatkan percampuran jantina dan disertai niat yang ikhlas bukan untuk mengharapkan balasan keduniaan. (Rujuk Radd al-Mukhtar wa Hasyiyah Ibn Abidin, 6/349)
Imam al-Ghazali juga mengharamkan hanya dua alat muzik yang menjadi syi’ar kepada peminum arak, iaitu al-awtar(sejenis alat muzik bertali) dan al-mizmar (sejenis seruling), maka ianya haram. (Rujuk Ihyaa’ Ulum al-Din, 2/272) Selain alat muzik tersebut, seperti duff(gendang), meskipun ia mempunyai loceng, ia dibenarkan. Dapat difahami bahawa Imam al-Ghazali mengharamkan alat muzik tertentu kerana ia berkait rapat dengan aktiviti maksiat, bukan kerana zatnya sebagai alat muzik.
Imam Al-Zahabi pula sewaktu mencatat biografi Abu Muhammad Ishaq bin Ibrahim al-Nadim, telah mengiktiraf beliau sebagai seorang Imam, al-Hafiz, al-Allamah dan seorang ahli muzik (Sahib al-Musiqi). (Rujuk Siyar A’lam al-Nubala’, 11/118-119) Beliau turut menukilkan pandangan Ibn Abd al-Barr yang menyatakan bahawa salah seorang ulama besar dalam bidang hadith, iaitu Abu Salamah al-Majishun – meninggal dunia pada tahun 185 Hijrah- merupakan seorang yang gemar mendengar muzik. Beliau turut diriwayatkan mempunyai hamba-hamba yang bermain alat muzik. Hal ini, menurut Imam al-Zahabi, tidaklah menghairankan, kerana ulama di Madinah terkenal agak bertoleransi dengan muzik. (Rujuk Siyar A’lam al-Nubala’ 10/360 dan 8/372)
Hal ini menunjukkan bahawa muzik adalah dibenarkan, hatta bagi seorang ‘alim dan ia tidaklah menjatuhkan taraf seseorang dari sudut kebolehpercayaan (tsiqah) dan ‘adil mereka.
Imam Ibn Tahir al-Qaysirany pula menyatakan bahawa tiada perbezaan pada hukum mendengar mana-mana alat muzik, dan para ulama mutaqaddimin mengharuskannya kerana tiada dalil-dalil syarak yang mengharamkannya, maka ia kembali kepada hukum asal keharusan setiap perkara. (Rujuk Kitab al-Sama’, hal. 31)
Imam Abdul Ghani al-Nabulsi pula menyatakan bahawa sesiapa yang meneliti hadith-hadith berkaitan pengharaman alat muzik akan mendapati bahawa alat muzik tidak terlepas daripada dikaitkan dengan arak, penyanyi-penyanyi wanita dan perkara-perkara dosa dan maksiat (al-fusuq wa al-fujur). Qaedah mazhab Syafi’e menyatakan mutlaq itu diikat dengan muqayyad. Manakala hadith yang tidak mengikat muzik dengan perkara-perkara seperti arak dan dosa pula berstatus ahad dan hanya bertaraf zhanni bukannya qathi’e. Maka pengharaman muzik sebenarnya adalah kerana keterkaitannya dengan perkara-perkara lain yang diharamkan secara qath’iemelalui dalil-dalil mutawatir. (RujukIdhaahat al-Dilalat fi Sama’ al-Alaat, hal. 78)
Imam Al-Syaukani pula meriwayatkan banyak athar daripada sahabat dan tabi’in yang menunjukkan keharusan mendengar nyanyian dan muzik, antaranya Ibn ‘Umar, Mu’awiyah, Amr bin al-‘Aas, Abdullah bin Jaafar dan Hasan bin Tsabit R.’Anhum.
Beliau turut membawakan beberapa riwayat daripada ramai ulama seperti Abu Ya’la, al-Qaffal dan al-Ruyani yang menunjukkan keharusan nyanyian dan alat muzik di sisi mazhab Malik. Abu Thalib al-Makkiy dalam Qut al-Qulub meriwayatkan daripada Syu’bah bahawa dia mendengar bunyi thunbur daripada rumah al-Minhal bin ‘Amr, seorang muhaddith yang terkenal. Ibn Thahir juga menyatakan bahawa tiada khilaf dalam kalangan ulama Madinah akan keharusan al-‘Uud (sejenis alat muzik bertali). Terdapat juga nukilan daripada sebahagian ulama mazhab Syafi’e seperti Imam al-Mawardi, Al-Isnawi, Ibn al-Mulaqqin, Al-Syirazi, Izzuddin Abd al-Salam dan Ibn Thahir yang meriwatkan pandangan yang mengharuskan al-‘Uud.
Adapun nyanyian tanpa disertai alat muzik, sebahagian ulama seperti Ibn Thahir dan Imam al-Ghazzali menyebut bahawa ia disepakati keharusannya oleh para sahabat, tabi’in dan ulama selepasnya. Selain itu, beliau turut menaqalkan kata-kata Imam al-Ghazali yang menyatakan lafaz bathil yang warid dalam hadith-hadith Nabi SAW berkenaan muzik كل لهو يلهو به المؤمن فهو باطل tidak menunjukkan pengharaman, tapi ia menunjukkan akan ketiadaan faedah dan manfaat pada perkara tersebut. Pandangan al-Ghazali ini turut dipersetujui oleh Imam Syaukani yang menyatakan bahawa perkara yang tiada faedah termasuk di bawah kategori al-mubah atau harus. (Rujuk Nail al-Autor, 8/114-118 dan Al-Fath al-Rabbani min Fatawa al-Imam al-Syaukani 10/5206)
Imam al-Syaukani juga telah menulis satu kitab khusus bertajuk Ibtol Da’wa al-Ijma’ fi Tahrim Muthlaq al-Sama’ dalam menepis dakwaan sesetangah ulama yang mendakwa berlakunya ijmak dalam pengharaman alat muzik dan nyanyian.
Dalil-Dalil Keharusan Muzik dan Nyanyian
Hadith daripada ‘Aisyah R.Anha, dia berkata:
أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ
Maksudnya: ‘Aisyah R.Anha mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi seorang lelaki. Rasulullah SAW pun bersabda: “Wahai ‘Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.
Sahih al-Bukhari (5162)
Selain itu, tsabit hadith daripada Anas bin Malik RA, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ ـ صلى الله عليه وسلم مَرَّ بِبَعْضِ الْمَدِينَةِ فَإِذَا هُوَ بِجَوَارٍ يَضْرِبْنَ بِدُفِّهِنَّ وَيَتَغَنَّيْنَ وَيَقُلْنَ نَحْنُ جَوَارٍ مِنْ بَنِي النَّجَّارِ يَا حَبَّذَا مُحَمَّدٌ مِنْ جَارِ . فَقَالَ النَّبِيُّ ـ صلى الله عليه وسلم ـ " يَعْلَمُ اللَّهُ إِنِّي لأُحِبُّكُنَّ
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW berjalan di sekitar Madinah al-Munawwarah, dan Baginda SAW melihat beberapa orang gadis memukul gendang sambil menyanyi: Kami gadis dari Bani Najjjar, betapa bertuahnya memiliki jiran seperti Muhammad. Nabi SAW pun bersabda: Allah SWT Mengetahui betapa aku sangat mencintai kalian.
Sunan Ibn Majah (1899)
Daripada ‘Aisyah R.Anha, beliau meriwayatkan:
أَنَّ أَبَا بَكْرٍ، دَخَلَ عَلَيْهَا وَالنَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عِنْدَهَا يَوْمَ فِطْرٍ أَوْ أَضْحًى، وَعِنْدَهَا قَيْنَتَانِ {تُغَنِّيَانِ} بِمَا تَقَاذَفَتِ الأَنْصَارُ يَوْمَ بُعَاثَ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ مِزْمَارُ الشَّيْطَانِ مَرَّتَيْنِ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم " دَعْهُمَا يَا أَبَا بَكْرٍ، إِنَّ لِكُلِّ قَوْمٍ عِيدًا، وَإِنَّ عِيدَنَا هَذَا الْيَوْمُ "
Maksudnya: Suatu hari Abu Bakar RA datang melawatnya pada hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dan Nabi Muhammad SAW ada bersamanya pada hari itu. Bersama Aisyah juga ada dua orang penyanyi wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath. Maka Abu Bakar pun berkata “seruling syaitan” sebanyak dua kali. Maka Nabi SAW pun berkata “biarkan mereka berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini merupakan hari raya bagi kita.”
Sahih al-Bukhari (3931) dan Sahih Muslim (892)
Menurut Syeikh Abdullah al-Judai’, hadith ini menunjukkan galakan hiburan berbentuk nyanyian dan muzik pada hari Raya, dan hukum keharusan muzik dan nyanyian pada selain hari perayaan telah tsabit melalui pelbagai riwayat yang lain.
Diriwayatkan pula oleh al-Rubai’ binti al-Mu’awwiz R.Anha:
دَخَلَ عَلَىَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم غَدَاةَ بُنِيَ عَلَىَّ، فَجَلَسَ عَلَى فِرَاشِي كَمَجْلِسِكَ مِنِّي، وَجُوَيْرِيَاتٌ يَضْرِبْنَ بِالدُّفِّ، يَنْدُبْنَ مَنْ قُتِلَ مِنْ آبَائِهِنَّ يَوْمَ بَدْرٍ حَتَّى قَالَتْ جَارِيَةٌ وَفِينَا نَبِيٌّ يَعْلَمُ مَا فِي غَدٍ. فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم" لاَ تَقُولِي هَكَذَا، وَقُولِي مَا كُنْتِ تَقُولِينَ
Maksudnya: Nabi SAW telah datang kepadaku pada hari perkahwinanku, dan Baginda duduk di atas katil yang kamu (perawi Khalid ibn Zakwan) sedang duduk sekarang, sedang sekumpulan remaja perempuan bermain gendang dan menyanyikan lagu kesedihan sempena kematian ayahku yang terbunuh sewaktu perang Badar. Kemudian salah seorang perempuan tersebut berkata “Ada seorang Nabi dalam kalangan kami yang mengetahui apa yang akan terjadi esok”. Nabi SAW berkata kepadanya: “Jangan kamu kata begitu, tapi teruskan apa yang kamu katakan sebelumnya.”
Sahih al-Bukhari (4001)
Daripada al-Sa’ib bin Yazid:
أَنَّ امْرَأَةً جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : " يَا عَائِشَةُ ، أَتَعْرِفِينَ هَذِهِ ؟ " قَالَتْ : لَا , يَا نَبِيَّ اللَّهِ , فَقَالَ : " هَذِهِ قَيْنَةُ بَنِي فُلَانٍ ، تُحِبِّينَ أَنْ تُغَنِّيَكِ ؟ " قَالَتْ : نَعَمْ , قَالَ : فَأَعْطَاهَا طَبَقًا ، فَغَنَّتْهَا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " قَدْ نَفَخَ الشَّيْطَانُ فِي مَنْخِرَيْهَا "
Maksudnya: Seorang wanita telah datang kepada Nabi SAW, dan Baginda bertanya kepada Aisyah R.Anha: “Adakah kamu mengenali wanita ini?” Aisyah menjawab “tidak, wahai Nabi Allah”. Maka Baginda berkata “Ini penyanyi wanita dari Bani Fulan, adakah kamu suka jika dia menyanyi kepada kamu?” Aisyah menjawab ya, lalu Nabi SAW memberikan penyanyi tersebut al-Thabqq, lalu dia menyanyi dengannya, Maka Nabi SAW berkata: “Syaitan telah meniup melalui dua lubang hidungnya.”
Musnad Ahmad (15407)
Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Judai’ sewaktu mentafsirkan hadith ini menyatakan, hadith ini menunjukkan Nabi SAW sendiri tidak melarang muzik dan nyanyian. Adapun frasa “syaitan telah meniup melalui dua lubang hidungnya” menunjukkan bahawa muzik ini lebih hampir kepada kategori bathil, dalam erti kata tiada kebaikan (hasanat) padanya, dan syaitan mempunyai bahagian di dalamnya. Namun ini tidak membawa erti pengharaman, kerana perlu dibezakan antara haram dan bathil. Jika muzik adalah haram, tidak mungkin Nabi SAW membenarkan wanita itu menyanyi, dan membenarkan Aisyah mendengarnya.
Diriwayatkan juga bahawa Saidina Umar pernah mendengar seorang lelaki menyanyi di satu padang pasir, lalu beliau berkata:
الْغِنَاءُ مِنْ زَادِ الرَّاكِبِ
Maksudnya: Nyanyian itu merupakan bekalan bagi seorang pengembara.
Sunan al-Baihaqi (8487)
Wallahu a'lam