Sumber: blog
PANDANGAN ULAMA BESERTA DALIL
Fatwa yang mengharamkan muzik dan nyanyian.
Jumhur ulama dan fuqaha’ mengharamkan alat muzik. Cuma ada sebahagian mereka yang mengharuskan alat muzik tertentu dalam keadaan tertentu. Kami nukilkan di bawah antara pandangan-pandangan mereka:
Imam Malik pernah ditanya akan muzik dan nyanyian, dan beliau berkata hanya orang fasiq yang terlibat dengan aktiviti seumpama ini. (Rujuk Tafsir al-Qurthubi, 14/55)
Menurut Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah pula, mendengar nyanyian (atau alat muzik) menimbulkan mudarat yang dahsyat terhadap agama seseorang, tidak ada cara lain selain dengan menutup jalan agar tidak mendengarnya. (RujukMajmu’ al-Fatawa, 11/567) Beliau turut menambah, tidak harus menghasilkan alat-alat muzik, dan boleh untuk dihancurkannya disisi majoriti fuqaha; bahkan beliau menyebut bahawa alat-alat muzik merupakan arak kepada jiwa-jiwa manusia (Rujuk Majmu’ al-Fatawa, 22/140 dan 10/417)
Menurut Imam al-Nawawi, para ulama bersepakat atas haramnya upah yang diperoleh oleh penyanyi dalam aktiviti nyanyian. Ini juga pandangan Ibn Abidin dalam hasyiah beliau (Rujuk Syarh Sahih Muslim, 10/231 dan Radd Al-Mukhtar ‘ala Ad-Dur Al-Mukhtar, 6/424)
Imam Ibn Hajar al-Haitami pula setelah beliau menukilkan ijmak akan pengharaman alat muzik, telah menyatakan bahawa sesiapa yang menyatakan bahawa ada khilaf dalam isu ini, dia telah melakukan kesilapan atau dikuasai hawa nafsu, hingga ia memekakkannya dan membutakannya (daripada mendengar dan melihat kebenaran). (Rujuk Kaff al-Ri’aa, hal. 118)
Kata Ibn Qudamah, barangsiapa yang menjadikan muzik sebagai satu pekerjaan, atau mengambil kanak-kanak dan hamba untuk menyanyi dan dihadiri oleh orang ramai, maka orang seperti itu tidak diterima kesaksian daripadanya. Ini kerana muzik di sisi mereka yang tidak mengharamkannya, merupakan satu kebodohan, kerendahan dan menjatuhkan maruah. Manakala di sisi mereka yang mengharamkan muzik, ia merupakan satu dosa dan pelakunya dikira menzahirkan kemaksiatan dan kefasikan. (RujukAl-Mughni, 10/156)
Bahkan disebut oleh Imam Khatib al-Syarbini, bahawa merosakkanthunbur wajib dikenakan ganti rugi kerana ia merupakan alat yang membawa kepada maksiat. (RujukMughni al-Muhtaj, 5/469)
Imam al-Qurthubi juga meriwayatkan pandangan al-Qaffal, bahawa tidak diterima penyaksian penyanyi dan penari. Tambah al-Qurthubi, oleh kerana itu, mengambil upah dan pendapatan daripada aktiviti nyanyian dan tarian juga tidak diharuskan. (RujukTafsir al-Qurthubi, 14/56)
Dalil-Dalil Pengharaman
Para ulama yang mengharamkan muzik berhujah berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith, antaranya firman Allah SWT:
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ بِغَيْرِ عِلْمٍ وَيَتَّخِذَهَا هُزُوًا أُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ مُهِين
Maksudnya: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.
(Surah Luqman: 6)
Kata Ibn ‘Abbas sewaktu mentafsirkan ayat ini, ia merujuk kepada muzik, manakala Mujahid berpandangan ia merujuk kepada al-Lahwu dan al-Tobl. Al-Hasan al-Basri pula menyatakan ayat ini diturunkan berkenaan muzik dan al-mazamir. (Rujuk Tafsir al-Tobari, 21/40 dan Tafsir Ibn Kathir, 3/451)
Selain itu, sabda Nabi SAW:
لا تَبِيعُوا الْقَيْنَاتِ وَلاَ تَشْتَرُوهُنَّ وَلاَ تُعَلِّمُوهُنَّ وَلاَ خَيْرَ فِي تِجَارَةٍ فِيهِنَّ وَثَمَنُهُنَّ حَرَامٌ . فِي مِثْلِ ذَلِكَ أُنْزِلَتْ عَلَيْهِ هَذِهِ الآيَةُ : (ومِنَ النَّاسِ مَنْ يَشْتَرِي لَهْوَ الْحَدِيثِ لِيُضِلَّ عَنْ سَبِيلِ اللَّهِ ) إِلَى آخِرِ الآيَةِ .
Maksudnya: Janganlah kalian menjual penyanyi-penyanyi wanita, atau membeli mereka, atau mengajar mereka menyanyi. Tidak ada kebaikan pada urus niaga melibatkan mereka, dan nilaian harga mereka adalah haram. Dan kerana kes seumpama inilah diturunkan ayat (yang bermaksud): “: Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk menyesatkan (manusia) dari jalan Allah”
Sunan Tirmizi (3195)
Nabi SAW juga bersabda:
لَيَكُونَنَّ مِنْ أُمَّتِي أَقْوَامٌ، يَسْتَحِلُّونَ الحِرَّ وَالحَرِيرَ، وَالخَمْرَ وَالمَعَازِفَ
Maksudnya: Akan ada di antara umatku, satu kaum yang menghalalkan zina, sutera (untuk lelaki), arak dan alat musik.
Sahih al-Bukhari (5590)
Nabi SAW juga pernah bersabda:
لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا يُعْزَفُ عَلَى رُءُوسِهِمْ بِالْمَعَازِفِ وَالْمُغَنِّيَاتِ يَخْسِفُ اللَّهُ بِهِمُ الأَرْضَ وَيَجْعَلُ مِنْهُمُ الْقِرَدَةَ وَالْخَنَازِيرَ
Maksudnya: Manusia daripada kalangan umatku akan meminum arak dan menamakannya dengan nama selain arak, alat muzik akan dimainkan untuk mereka dan penyanyi wanita menyanyi untuk mereka. Allah SWT akan menjadikan bumi menelan mereka dan menukar mereka menjadi monyet dan babi.
Sunan Ibn Majah (4020)
Selain itu, Nafi’ – maula Ibnu ‘Umar-, berkata,
أَنَّ ابْنَ عُمَرَ سَمِعَ صَوْتَ زَمَّارَةِ رَاعٍ فَوَضَعَ أُصْبُعَيْهِ فِى أُذُنَيْهِ وَعَدَلَ رَاحِلَتَهُ عَنِ الطَّرِيقِ وَهُوَ يَقُولُ يَا نَافِعُ أَتَسْمَعُ فَأَقُولُ نَعَمْ. فَيَمْضِى حَتَّى قُلْتُ لاَ فَوَضَعَ يَدَيْهِ وَأَعَادَ رَاحِلَتَهُ إِلَى الطَّرِيقِ وَقَالَ رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- وَسَمِعَ صَوْتَ زَمَّارَةِ رَاعٍ فَصَنَعَ مِثْلَ هَذَا
Maksudnya: Ibnu ‘Umar pernah mendengar suara seruling dari seorang pengembala, lalu beliau menyumbat kedua telinganya dengan kedua jarinya. Kemudian beliau berpindah ke jalan yang lain. Lalu Ibnu ‘Umar berkata, “Wahai Nafi’, apakah kamu masih mendengar suara tadi?” Aku (Nafi’) berkata, “Ya, aku masih mendengarnya.” Kemudian, Ibnu ‘Umar terus berjalan. Lalu, aku berkata, “Aku tidak mendengarnya lagi.” Barulah setelah itu Ibnu ‘Umar melepaskan tangannya dari telinganya dan kembali ke jalan itu lalu berkata, “Beginilah aku melihat Rasulullah SAW ketika mendengar suara seruling dari seorang pengembala. Beliau melakukannya seperti tadi.”
Musnad Ahmad (4397)
Oleh kerana itu, ulama yang mengharamkan nyanyian dan muzik juga turut mengharamkan segala transaksi yang melibatkan kedua-dua bidang tersebut. Hal ini berdasarkan sabda Baginda SAW:
إنَّ اللَّهَ تَعَالَى إِذَا حَرَّمَ شَيْئًا حَرَّمَ ثَمَنَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya jika Allah mengharamkan sesuatu, Dia haramkan juga harganya.
Riwayat al-Daruquthni (2815)
Wallahu a'lam.