Sumber: fbook
Rasulullah SAW menyifatkan mereka sebagai pemimpin yang bodoh.
SIAPAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN
“PEMIMPIN YANG BODOH”?
Maksudnya: Daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya Nabi SAW bersabda kepada Ka’b bin ‘Ujrah RA: (mudah-mudahan) Allah memelihara kamu dari kepemimpinan orang-orang yang bodoh. Ka’b bertanya: Wahai Rasulullah, apakah itu kepemimpinan orang yang bodoh? Rasulullah menjelaskan: (iaitu) Para pemimpin yang muncul selepas dariku, tetapi mereka tidak menggunakan petunjukku, dan mereka tidak mengamalkan sunnahku. Barangsiapa yang membenarkan penipuan mereka, atau membantu kezaliman mereka, maka mereka itu adalah bukan dari umatku. Dan aku bukan sebahagian dari mereka. Mereka tidak akan dapat minum di telagaku (di akhirat kelak). Barangsiapa yang tidak membenarkan penipuan mereka, dan tidak membantu kezaliman mereka, maka dia adalah sebahagian dari umatku dan aku adalah sebahagian darinya, dia akan dapat minum di telagaku kelak.
(Musnad Ahmad, no: 14441 - dinilai oleh al-Arna’ut sebagai hadis yang memiliki sanad yang kuat (qawi))
ULASAN
1. Melalui hadis ini, Rasulullah memberikan teguran yang sangat keras terhadap pemimpin yang tidak menjadikan sunnah Rasulullah sebagai petunjuk. Baginda SAW menyifatkan golongan ini sebagai orang-orang yang bodoh. Mereka telah diberikan panduan dari sunnah Nabi, tetapi mereka memilih untuk tidak menggunakannya. Adalah amat malang bagi umat ini andai sekiranya ada di kalangan pemimpin mereka yang tidak mengambil bimbingan dari sunnah Rasulullah. Lebih malang lagi sekiranya mereka menolak hadis Nabi bahkan meragui pula sunnah Rasulullah. Golongan inilah yang ditolak oleh Rasulullah sehingga Baginda enggan mengaku mereka sebagai umat Baginda SAW.
2. Menurut al-Imam al-Tayyibi, pada hakikatnya yang dimaksudkan dengan pemimpin yang bodoh itu bukanlah kerana sifat bodoh mereka tetapi kerana sikap zalim dan penipuan yang mereka lakukan. Ini kerana, dalam bahagian kedua daripada hadis tersebut, Rasulullah menyebutkan sifat pemimpin yang bodoh itu iaitu mereka melakukan kezaliman dan pembohongan. Dengan sebab itu al-Tayyibi mengatakan:
“Orang-orang bodoh itu adalah mereka yang disifatkan dengan penipuan dan kezaliman.” (Mirqah al-Mafatih)
3. Kemudian dalam bahagian ketika hadis ini pula Rasulullah menjelaskan bahawa Baginda menolak kumpulan pemimpin seperti ini untuk diterima menjadi sebahagian dari umat ini. Ia adalah satu mesej yang sangat jelas buat kita semua agar menjauhi pemimpin seperti ini dan arahan agar tidak menyokong kezaliman dan penipuan mereka.
4. Dengan sebab itu sebahagian salafussoleh terdahulu menjauhkan diri mereka daripada pintu-pintu sultan dan pemerintah. Mereka bimbang sekiranya terpalit dengan kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah.
5. Setelah memberikan penjelasan berhubung hadis ini, Sheikh Ali al-Qari menukilkan kata-kata salafussoleh terdahulu tentang saranan agar menjauhkan diri dari pintu-pintu istana pemimpin. Kata Sufyan al-Thauri:
“Kami tidak (terlalu) bergaul dengan pemerintah dan kami juga tidak terlalu bercampur dengan mereka yang rapat dengan pemerintah.” (Mirqah al-Mafatih)
6. Malah Saidina Abdullah ibn Mas’ud turut menegaskan bahawa:
“Barangsiapa yang reda dengan perkara zalim sekalipun mereka tidak berada di situ ketika itu, maka seolah-olah mereka berada menyaksikan kezaliman yang dilakukan.” (Mirqah al-Mafatih)
Wallahu 'alam