Sumber: blog
Fatwa-Fatwa Dan Pandangan Ulama Kontemporari
Fatwa Dar al-Iftaa’ Misriyyah
Nyanyian dan muzik secara amnya terbahagi kepada dua, iaitu yang diharuskan dan yang diharamkan. Ini kerana nyanyian itu satu bentuk komunikasi dan susunan perkataan. Perkataan yang baik maka ianya baik, perkataan yang buruk maka ianya menjadi buruk.
Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat, dan bukan kerana sifatnya sebagai alat muzik semata-mata.
Mendengar muzik dan nyanyian serta menghadiri konsert adalah harus jika lagu-lagu yang dimainkan berunsur keagamaan dan menyeru kepada patriotisme dan semangat kenegaraan, atau yang menzahirkan kegembiraan sempena perayaan dalam keadaan mengelakkan percampuran bebas lelaki dan perempuan. Selain itu, nyanyian itu sendiri bebas daripada unsur jelek, dosa dan perkara yang diharamkan seperti arak dan kelucahan, tidak menimbulkan nasfu syahwat serta tidak melalaikan daripada perkara-perkara yang wajib. Nyanyian dan muzik yang haram pula ialah yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas, serta menimbulkan fitnah, menghilangkan sifat malu dan meruntuhkan akhlak.[3]
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-2 yang bersidang pada 12-13 Mei 1981 telah membuat keputusan seperti berikut:
-Nyanyian yang senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap dan tidak mendorong kepada maksiat, tidak bercampur gaul antara lelaki dengan perempuan dan tidak membawa kepada fitnah adalah harus;
-Jika nyanyian senikatanya tidak baik, lucah, biadap, mendorong kepada maksiat, bercampur gaul lelaki dengan perempuan dan membawa kepada fitnah maka nyanyian itu adalah haram;
-Pancaragam yang melalaikan hukumnya haram;
-Mendengar nyanyian dan pancaragam adalah harus dengan syarat senikatanya baik, tidak lucah, tidak biadap, tidak bercampur lelaki dan perempuan dalam keadaan yang tidak menimbulkan fitnah; dan
-Menyanyi untuk menimbulkan semangat jihad adalah harus.
Fatwa Syeikh Dr. Yusof al-Qaradhawi
Menurut Syeikh al-Qaradhawi, isu ini menjadi khilaf yang hangat diperdebatkan dalam kalangan ulama. Nyanyian yang disepakati haram ialah nyanyian yang melibatkan maksiat atau mempunyai unsur mengajak ke arah maksiat. Adapun yang disepakati harus pula ialah nyanyian yang menjurus ke arah naluri fitrah yang dialunkan untuk dirinya, nyanyian sesama suami isteri atau sesama kanak-kanak. Selain daripada jenis-jenis ini termasuk di bawah ruang perselisihan para ulama.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan muzik dan nyanyian dan ia merupakan hukum asal bagi perkara-perkara baik dan dan indah. Namun, terdapat beberapa unsur luaran yang terpalit padanya yang menyebabkan hukum boleh berubah kepada haram atau makruh tahrim.
Beliau turut meletakkan beberapa peringatan dan garis panduan bagi sesiapa yang mendengar nyanyian dan mempraktikkannya:
Sesiapa yang berniat mendorong diri untuk melakukan maksiat melalui nyanyian, maka dia seorang fasik. Jika bertujuan merehatkan jiwa, membantu untuk taat kepada Allah SWT dan menyegarkan diri, maka ia dikira perbuatan yang baik. Jika tidak berniat samada baik atau buruk, maka ia dikira perbuatan al-lahwu / al-bathil (sia-sia) yang tidak berpahala mahupun dosa.
Lirik mestilah tidak mengandungi unsur menyalahi akidah, hukum-hakam dan kewajipan Islam
Gaya penyampaian penyanyi mestilah menjaga batas-batas syarak.
Agama Islam menolak sebarang unsur keterlaluan dalam setiap perkara, meskipun dalam isu ibadah. Keterlaluan dalam perkara harus akan menghabiskan masa yang sepatutnya digunakan untuk melakukan kewajipan.
Setiap pendengar mestilah menilai dan menentukan sendiri nyanyian yang boleh didengar. Mereka lebih mengetahui bentuk-bentuk nyanyian yang mampu merangsang nalurinya, menggodanya kepada fitnah dan melupakan unsur rohani dalam dirinya. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 430-436)
Syeikh Ali Jum’ah (mantan Mufti Mesir)
Syeikh Ali Jum’ah menegaskan bahawa hukum berkenaan muzik dan nyanyian ini bukannya isu yang melibatkan asas aqidah atau perkara yang dimaklumi dari agama secara dharuriy, dan ia sekadar khilaf fiqh. Maka tidak boleh sama sekali kita menghukum orang lain sebagai fasiq hanya kerana berbeza pandangan dalam isu ini.
Beliau mentarjihkan pandangan yang mengharuskan nyanyian, sama ada disertai alat muzik ataupun tidak, dengan syarat ia tidak mengandungi unsur-unsur kemaksiatan dan perkara yang menyanggahi syarak. Bahkan hukumnya boleh menjadi sunat jika melibatkan puji-pujian kepada Allah SWT dan Nabi-Nya, lagu-lagu yang menaikkan semangat dan kecintaan kepada negara. Namun begitu, sikap berlebih-lebihan padanya akan membawa kepada makruh, bahkan boleh juga membawa kepada hukum haram. (Rujuk Al-Qaul al-Mubin fi Ahkam al-Dunya wa al-Din, hal. 228 dan 233)
Fatwa Ulama al-Lajnah al-Da’imah
Muzik adalah haram berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, bahkan muzik juga tidak dibenarkan dalam bentuk nasyid untuk tujuan dakwah. Mereka memilih pandangan Ibn Mas’ud yang mentafsirkan frasa ‘lahwa al-hadith’ dalam ayat 6 Surah Luqman sebagai muzik (al-ghina’). Muzik merupakan perosak hati, jalan ke arah keburukan dan boleh melalaikan kita daripada perkara-perkara kebaikan. (Rujuk Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 26/222-225)
Syeikh Mahmud Syaltut
Syariat tidak diturunkan untuk menyekat fitrah manusia yang sukakan keindahan dan kecantikan, tapi Syariat datang untuk mengawal dan mengawasinya agar tidak terjerumus ke dalam perkara-perkara yang jelek dan memudaratkan. Tambah beliau lagi, alat muzik dan nyanyian tidak diharamkan kerana zatnya sebagai alat muzik, tapi hanya jika ada unsur maksiat yang dikaitkan dengannya, atau jika ia membawa kepada gejala-gejala yang tidak bermoral. Jika muzik itu bebas daripada sebarang unsur maksiat, maka adalah diharuskan untuk mendengarnya, mempelajarinya dan menyertai acara-acara muzik. (Rujuk Fatawa Mahmud Syaltut, hal. 385)
Syeikh Yusuf bin Abdullah al-Judai’
Syeikh al-Judai’- seorang ulama hadith dari Iraq- ada mengemukakan kajian beliau tentang muzik dan nyanyian. Menurut beliau, antara kaedah usul yang wajib diambil kira dalam meneliti isu ini ialah muzik dan nyanyian merupakan isu adat manusiawi, dan bukannya isu ta’abbudi, dan asal bagi perkara-perkara adat ialah harus. Ia juga merupakan salah satu jenis perhiasan dan kecantikan yang asalnya dihalalkan oleh Allah SWT menerusi firmanNya:
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakanNya?" Katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat".
(Surah al-A’raf (32))
Beliau juga sewaktu menyimpulkan kajian menyatakan bahawa asal bagi kedua-duanya ialah al-lahwu, dan ia diharuskan untuk tujuan mencapai maslahah yang mu’tabarah, seperti menzahirkan kegembiraan yang syar’ie, mengelakkan rasa jemu dan keletihan. Ia juga mestilah tidak menyebabkan perkara-perkara wajib dan sunat terabai, atau menyebabkan berlakunya perkata-perkara haram. Jika ini terjadi, hukumnya bertukar daripada harus kepada haram atau makruh. (Rujuk Al-Musiqi wa al-Ghina’ fi Mizan al-Islam, hal. 600)