Sumber: blog
Pada bulan ramadhan, terdapat satu malam yang dipanggil sebagai malam Lailatulqadar. Ia akan menjelma tanpa kita tahu tarikh dan masanya secara spesifik.
Hal itu secara jelas dinyatakan oleh ALLAH SWT dalam satu surah pendek iaitu Surah al-Qadr. Sesungguhnya, malam yang terpilih itu dipanggil sebagai malam penuh keberkatan dan ia dihadiahkan oleh Maha Pencipta kepada hamba-Nya yang beramal dengan khusyuk dan ikhlas berdoa.
Malam tersebut juga sering disebut sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan sebagaimana firman ALLAH SWT:
Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. (Surah al-Qadr, ayat 3)
Mengapa ia terlalu istimewa sehingga sehingga disebutkan khusus dalam satu surah di dalam al-Quran?
Malam penentuan
Menjelaskan persoalan itu, Sinar Islam mewawancara pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid bagi berkongsi ilmu.
Jelas agamawan itu, Lailatulqadar secara umumnya bermaksud malam penentuan ataupun takdir.
Ada juga pendapat yang memberi maksud Lailatulqadar sebagai malam kekuasaan yang diambil daripada sifat ALLAH SWT Yang Maha Berkuasa, ujar beliau.
Ustaz Bakhtiar Fitri berkata, ayat satu hingga tiga dalam Surah al-Qadr, ALLAH menyebut Lailatulqadar sebagai malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan iaitu bersamaan lebih kurang 83 tahun!
Ia membawa maksud sesiapa sahaja yang beribadah pada malam tersebut, mereka akan memiliki pahala beribadah selama 1,000 bulan atau 83 tahun. Bahkan, ia lebih baik lagi daripada 1,000 bulan.
Andaikan kita bertarawih pada 10 malam terakhir Ramadan dan malam tersebut adalah Lailatulqadar, ia seumpama kita berterawih selama 83 tahun tanpa henti.
Begitu juga jika kita membaca al-Quran, bertahajud atau berzikir, ia seumpama kita beribadah selama 83 tahun tanpa henti, katanya sambil menjelaskan pada malam itu jugalah turunnya al-Quran, mukjizat terbesar buat Nabi Muhammad SAW.
Wallahu a'lam..