BAB KE ENAM
WAJIB BERIMAN KEPADA QADAR TAKDIR ALLAH SWT
● Dari Abdullah Bin 'Amru Bin Al-'As R.a, katanya:'aku ada mendengar Rasulullah S.a.w, bersabda: "Allah telah memerintahkan supaya ditulis segala qadar takdir sekalian makhluk sebelum ia menjadikan langit dan bumi dengan satu tempoh masa yang amat lanjut..."
(Hadis Riwayat Muslim dan Tarmizi)
Dengan hadis ini Rasulullah S.a.w menerangkan bahawa qadar takdir bagi segala kejadian telah disediakan oleh Allah S.w.t dan setelah ia menjadikan qalam, ia memerintahkan qalam supaya menulis, lalu qalam bertanya, sebagaimana yang tersebut pada hadis Ibadat Bin Al-Samat R.a, yang diriwayatkan oleh Al- Tarmizi:" apakah perkara yang Tuhan perintahkan aku menulisnya?" Tuhan berfirman:" Tulislah qadar takdir yang ditetapkan bagi segala yang telah ada dan yang telah berlaku, dan juga segala yang akan ada serta yang akan berlaku seterusnya."
........
● Dari Ibnu Al-Dailami, katanya: aku telah pergi berjumpa Abi Bin Ka'ab, lalu aku berkata kepadanya:" Terlintaslah dalam hatiku sedikit kemusykilan mengenai soal qadar takdir, maka terangkanlah kepadaku suatu hadis mengenainya semoga Allah menghilangkan kemusykilan itu dari hatiku", Abi pun berkata: "...dan kalaulah engkau dermakan pada jalan Allah emas sebesar gunung Uhud sekalipun, tidak akan diterima Allah daripadamu sehingga engkau percaya dan mengakui benarnya qadar takdir dan sehingga engkau meyakini bahawa apa yang telah ditakdirkan kena atau sampai kepadamu tidak sekali- kali akan menyimpang daripadamu dan bahawa apa yang telah ditakdirkan menyimpang daripadamu tidak sekali- kali akan kena atau sampai kepadamu dan kalaulah engkau mati dengan kepercayaan yang lain dari ini, nescaya engkau masuk neraka", kata Ibnu Al-Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Abdullah Bin Mas 'ud, lalu ia menyatakan seperti itu, kata Ibnu Al-Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Huzaifah Bin Al-Yamani maka ia pun menyatakan yang seperti itu juga, kata Ibnu Al- Dailami lagi: kemudian aku pergi berjumpa Zaid Bin Sabit maka ia meriwayatkan kepadaku hadis dari Nabi S.a.w yang seperti itu juga maksudnya."
(Hadis Riwayat Abu Daud)
........
● Dari Jabir R.A, bahawa Nabi S.A.W bersabda:" Tidak dikira seseorang beriman sehingga ia percaya dan mengakui benarnya qadar takdir, baik dan jahatnya, dan sehingga ia menyakini bahawa apa yang ditakdirkan kena atau sampai kepadanya tidak akan sekali- kali akan menyimpng daripadanya dan apa yang ditakdirkan menyimpang daripadanya tidak sekali- kali akan kena atau sampai keapadanya."
(Hadis Riwayat Tarmizi)
Segala²Nya itu telah disempurnakan Tuhan pada azali serta diputuskan hukum berjalan kuatkuasanya pada bila² masa yang ia kehendaki.
Qadar takdir mempunyai hubungan yang rapat dengan qada' Tuhan bahkan ada kalanya apabila disebut "qadar takdir" contohnya, maka termasuklah "qada'" yang azali, seperti yang tersebut dalam sebuah hadis, mengenai "qalam menulis akan qadar takdir Tuhan".
Demikian juga apabila disebut "qada' yang azali" maka termasuklah "qadar takdir Tuhan" seperti yang terkandung dalam hadis Abu Hurairah r.a, dari Nabi s.a.w bermaksud:" Setelah Allah swt qada' kan (putuskan hukum berjalannya qadar takdir) pentadbiran makhlukNya, ia tetapkan pada kitab hukumnya yang tersimpan di atas arasy, satu hukum, iaitu "sesungguhnya rahmat-Ku mendahului kemurkaan-Ku." (BUKHARI, MUSLIM DAN TIRMIZI)
"Qada'" menurut bahasa quran banyak maknanya, dan "Qada'" yang menjadi pasangan bagi "qadar takdir" mempunyai dua makna:
1. Memutuskan hukum, seperti yang tersebut pada ayat:"
۞ وَقَضٰى رَبُّكَ اَلَّا تَعْبُدُوْٓا اِلَّآ اِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ اِحْسٰنًاۗ اِمَّا يَبْلُغَنَّ عِنْدَكَ الْكِبَرَ اَحَدُهُمَآ اَوْ كِلٰهُمَا فَلَا تَقُلْ لَّهُمَآ اُفٍّ وَّلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُلْ لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيْمًا
(Ayat 23, surah Al Isra')
Maksud:
"Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berusia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah engkau mengatakan kepada keduanya perkataan “ah” dan janganlah engkau membentak keduanya, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik."
2. Melaksanakan qadar takdir, seperti yang tersebut pada ayat:
وَاِذْ يُرِيْكُمُوْهُمْ اِذِ الْتَقَيْتُمْ فِيْٓ اَعْيُنِكُمْ قَلِيْلًا وَّيُقَلِّلُكُمْ فِيْٓ اَعْيُنِهِمْ لِيَقْضِيَ اللّٰهُ اَمْرًا كَانَ مَفْعُوْلًا ۗوَاِلَى اللّٰهِ تُرْجَعُ الْاُمُوْرُ
(Ayat 44 surah Al-Anfal)
Maksud:
"Dan ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu, ketika kamu berjumpa dengan mereka berjumlah sedikit menurut penglihatan matamu dan kamu diperlihatkan-Nya berjumlah sedikit menurut penglihatan mereka, itu kerana Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang harus dilaksanakan. Hanya kepada Allah segala urusan dikembalikan."
Wallahu a'lam.
Allah swt telahpun memutus dan menetapkan bagi tiap² satu natijah ada pendahuluannya dan bagi tiap² suatu musabab ada sebabnya, serta bagi tiap² satu tujuan ada jalan untuk mencapainya.
Oleh itu, sesiapa yang menunggu berhasilnya sesuatu dengan tidak melalui sebab, pendahuluan dan jalan mencapainya yang ditetapkan dan ditentukan oleh Allah, bermakna ia kufur, tidak beriman kepada qadar takdir dan qada' yang azali.
Dengan penjelasan yang tersebut, maka orang yang beriman kepada qadar takdir dan qada' Tuhan ialah orang yang rajin berusaha dan beramal mengikut undang², peraturan dan hukum hakam Tuhan,dan giat mencari qadar Takdir yang menjayakan maksudnya.
Oleh itu, tidaklah patut seseorang berdalih dengan "soal qada' dan qadar" apabila ia cuai melaksanakan apa yang Tuhan jadikan sebab atau jalan mencapai sesuatu maksud, kerana qada' dan qadar itu tidak terdapat padanya selain daripada menentukan hukum dan peraturan serta mengikat sebab dengan musabab yang menjadi asas sesuatu kejadian, asas bagi semua syariat serta asas bagi hisab dan balasan.
Kalaulah benar dalihnya orang yang demikian, nescaya sia² lah Tuhan mengutuskan rasul²-Nya dan menurunkan kitab²-Nya, yang mengajak manusia kepada mematuhi ajaran agama Allah dan menjalankan segala usaha yang menyebabkan kebaikan dan kebahagiaan manusia.
Memang benar! "Untung nasib" yang akan didapati oleh seseorang dengan pilihan dan ikhtiarnya sendiri samada baik ataupun buruk, iman atau kufur, sedia dikethahui oleh Allah pada azali, tetapi pengetahuan Allah yang demikian tidak menjadikan orang itu dipaksa melakukan apa yang diketahui oleh Allah swt, kerana ilmu Allah ialah satu sifat yang dengannya segala sesuatu terdedah kepada-Nya semenjak dari azali lagi, iaitu segala sesuatu yang akan berlaku, meliputi hakikatnya, kemahuannya dan apa yang dipilih oleh manusia dengan iradat yang dikurniakan Tuhan kepadanya, juga apa yang dilakukan oleh manusia dengan ikhtiarnya akan apa yang dipilihnya itu.
Sebagai contoh, apabila Allah mengetahui dengan ilmu-Nya bahawa seseorang itu akan memilih perbuatan zina dan akan melakukan zina itu dengan ikhtiarnya, maka apa yang dipilih dan dilakukan oleh seseorang itu adalah tepat dengan apa yang diketahui oleh Allah swt pada azali, tetapi ilmu Allah itu tidak mengikat seseorang itu supaya memilih dan melakukan perbuatan zina yang tersebut.
Hakikat ini sayugia difahami dengan sebaik²nya supaya tidak timbul sebarang kemusykilan tentang keadilan Tuhan.
Ini berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan berkuasa melakukan perkara yang baik dan menjauhkan diri dari melakukan perkara yang buruk, juga berdasarkan bahawa manusia dijadikan Tuhan bebas memilih sesuatu bagi dirinya.
Jelasnya, tiap² seseorang mempunyai iradat (kemahuan memilih), dan kudrat (kuasa melakukan), yang Allah tidak menjadikan keduanya pada diri manusia dengan sia² sahaja, bahkan Tuhan menjadikan keduanya tempat bergantungnya tanggungjawab menyempurnakan perintah-Nya, juga asas yang membolehkan perbuatan seseorang itu disandarkan kepada-Nya.
Dengan demikian, maka terserahlah kepada manusia memilih dan melakukan apa yang dipilihnya itu samada baik atau buruk, dan Tuhan hanya melaksanakan apa sahaja qadar takdir yang dipilih oleh seseorang.
Qadar takdir Tuhan yang tidak dapat ditolak, kerana manusia tidak diberi kuasa dan daya upaya untuk menahan daripada berlaku.
Contoh:
i. Qadar takdir bentuk tubuh badan seseorang dan warna kulitnya; qadar takdir jadi lelaki atau perempuan; qadar takdir tempat lahir seseorang dan tempat matinya.
ii. Qadar takdir ditimpa kemalangan secara mengejut, karam di laut dan sebagainya.
iii. Qadar takdir tidak berhasil apa yang telah dirancang dan diusahakan oleh seseorang dengan sehabis² daya upayanya, atau sebaliknya qadar takdir seseorang mendapat kekayaan atau pangkat yang tidak difikirkan mendapatnya.
Qadar takdir bahagian ini ialah satu dari ujian² Tuhan untuk menguji seseorang, setakat manakah sabarnya, dan sebanyak manakah syukurnya apabila ia menerima ujian atau menerima nikmat Tuhan.
Qadar takdir Tuhan yang kita kena menerima wujudnya pada diri kita iaitu qadar takdir adanya perasaan semula jadi, yakni segala perasaan yang diberi Tuhan pada diri kita sejak kita lahir ke dunia, seperti perasaan hendak makan minum, perasaan hendak memelihara diri, perasaan hendak berhubung jenis, perasaan hendak bercampur gaul, dan lain² lagi.
Perasaan semula jadi inilah yang menggerakkan seseorang berfikir dengan cara yang tertentu, bercakap dengan gaya yang tertentu, dan bertingkah laku dengan ragam yang tertentu.
Qadar takdir ini sungguhpun kita harus menerima adanya pada diri kita, kenalah kita menjaganya dan membetulkan perjalanannya dengan undang² dan peraturan yang telah Tuhan takdirkan untuk berbuat demikian.
Contoh:
i. Perasaan hendak bercampur gaul.
Perasaan ini kenalah kita betulkan perjalannya dengan memakai undang² yang tersebut pada ayat 140 surah An-Nisa', dan ayat 70 surah Al-Anam, yang maksudnya:
"Apabila kamu mendengar ayat² keterangan Allah tidak diakui benarnya oleh mana² puak, dan mereka mempersendakannya, maka hendaklah kamu menarik diri dari kumpulan puak itu, jangan kamu duduk bersama² mereka sehingga mereka memperkatakan perkara yang lain, kalau tidak, kamu sama berdosa seperti mereka. Demikian juga jangan kamu bercampur gaul lagi dengan orang² yang menjadikan perkara agama mereka permainan dan hiburan, juga orang² yang terpedaya dan leka dengan keadaan hidup di dunia sehingga mereka lupakan cara hendak hidup di akhirat kelak."
ii. Perasaan hendak makan minum
Perasaan ini haruslah kita betulkan perjalanannya dengan memakai undang² yang diterangkan pada ayat 168 surah Al Baqarah, dan ayat 31 surah Al A'raf, yang maksudnya:
"Wahai manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, benda² yang halal lagi baik, dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan dan orang² yang bersifat syaitan, syaitan suka menghalalkan apa yang Tuhan haramkan. Syaitan pula menjadi musuh yang nyata bagi kamu sejak bapa kamu Adam berada di dalam syurga dahulu. Makan dan minumlah apa yang kamu suka dengan syarat janganlah kamu melampaui, iaitu janganlah kamu melampaui undang² kesihatan jasmani dan rohani, undang² perbelanjaan dan undang² masyarakat yang sihat."
iii. Perasaan hendak berhubung jenis.
Perasaan ini hendaklah kita betulkan perjalanannya dengan memakai undang² yang terkandung dalam ayat 32 surah Isra' yang maksudnya:
"Janganlah kamu menghampiri zina, apalagi melakukannya, kerana sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang sangat keji dan menjadi sejahat² jalan yang membawa yang kepada kerosakan rumahtangga dan masyarakat, dan membawa kepada kesusahan serta azab di dunia dan di akhirat".
Qadar takdir yang juga termasuk pada bahagian yang kedua ini ialah qadar takdir berkenaan perbuatan yang berdosa, ataupun sesuatu penyakit yang menimpa, maka hendaklah seseorang itu berusaha membersihkan dirinya daripada dosa atau penyakitnya dengan mana² satu qadar takdir yang Tuhan telah tentukan untuk berbuat demikian.
Mengenai perbuatan berdosa, maka hendaklah orang itu memakai cara qadar takdir yang diterangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan sabdanya yang bermaksud: "Berubatlah wahai hamba Allah, kerana Allah tidak takdirkan sesuatu penyakit melainkan ia ditakdirkan ubatnya bersama, tinggal lagi ada orang yang mengetahui ubat itu dan ada pula yang tidak mengetahuinya."
Qadar takdir yang diberikan kita kebiasaan memilihnya, tetapi kita diberitahu supaya memilih qadar takdir yang mendatangkan manfaat dan kesudahan yang baik, jangan memilih qadar takdir yang mendatangkan mudharat dan akibat yang buruk.
Kita diberitahu supaya memilih:
a. Qadar takdir yang memberi kita mendapat ilmu yang berguna di dunia dan di akhirat, janganlah memilih qadar takdir yang menjadikan kita jahil atau mendapat ilmu yang tidak berguna.
b. Qadar takdir yang memberi kita iman dan kepercayaan yang teguh, dan tetap serta benarnya, janganlah memilih qadar takdir yang menjadikan kita menerima pembawaan syirik dan khurafat.
c. Qadar takdir yang memberikan kita kesihatan dan kecergasan, jangan kita memilih qadar takdir yang menyebabkan kita segan dan malas.
d. Qadar takdir yang memberi kita penghidupan yang mewah lagi baik, jangan memilih qadar takdir yang membawa kepada kesempitan hidup atau keadaan yang buruk.
e. Qadar takdir yang menyebabkan kita bertingkah laku dengan akhlak yang terpuji, jangan memilih qadar takdir yang menyebabkan kita berkelakuan buruk, hina dan keji.
f. Qadar takdir yang menolong kita membangunkan masyarakat yang aman damai, jangan memilih qadar takdir yang membawa kepada bermusuhan dan keadaan yang membahayakan.
g. Qadar takdir yang menyebabkan tubuh badah dan tenaga kekuatannya tahan lama untuk berbakti kepada Tuhan, jangan memilih qadar takdir yang menyebabkan tubuh badan dan tenaga kekuatannya cepat susut dan segera runtuh.
h. Qadar takdir yang menyebabakan kita terpelihara dan terselamat dari kemalangan atau penderitaan dunia akhirat, jangan memilih qadar takdir yang membawa kita kepada perkara² yang tidak diingini dan merugikan.
i. Qadar takdir yang menyebabkan kita boleh mempertahankan hak dan kebenaran, menggerunkan musuh dan menewaskannya, jangan memilih qadar takdir yang menjadikan perkara yang hak diperhina, kebenaran dikeji, dan musuh berani dan bermaharajalela.
j. Qadar takdir yang menyebabkan kita gemar menyediakan segala bekalan yang menyenangkan kita dalam masa musafir, berhenti dan tinggal menetap terus di akhirat, jangan memilih qadar takdir yang menjadikan seseorang terlantar susah apabila ia terpaksa musafir kerana tempoh khidmatnya di sini sudah cukup.
Sebagaimana kita dituntut memilih qadar takdir yang baik, jangan yang buruk, kita juga disuruh menolak satu² qada' takdir yang tidak diingini dengan qadar takdir yang ditentukan untuk menolaknya, seperti qada' takdir sakit, disuruh kita menolaknya dengan qadar taqdir berubat, qada' takdir lapar dengan qadar takdir makan.
Kita disuruh berbuat demikian, walaupun di samping itu kita disuruh redhakan qada' takdir Tuhan.
Redha kepada qada' Takdir Tuhan ertinya, menghadapi sesuatu qada' takdir yang berlaku dengan tidak ada perasaan membantah perlaksanaan Tuhan bahkan dengan perasaan tenang tenteram, tetapi kalau qada' takdir yang berlaku itu dari perkara² yang dimurkai Tuhan, seperti kufur dan maksiat, maka wajiblah orang yang berkenaan kesalkan kecuaiannya dan bencikan perkara itu serta berusaha menjalankan qadar takdir yang menyelamatkannya dari kemurkaan Allah, dan kalau qadar takdir yang berlaku itu dari perkara² yang Tuhan timpakan untuk menguji seseorang, seperti kematian orang yang dikasihi, kehilangan harta benda, dan kegagalan untuk mencapai sesuatu maksud, maka selain daripada menerima qada' takdir yang berlaku itu dengan perasaan yang tenteram, wajiblah orang itu bersabar sambil melafaz dan mentahqiqkannya ke dalam jiwanya, erti 'innalillahi wa inna ilaihi raajiuun-(Al Baqarah:Ayat 156), dan erti hadis, iaitu hadis dari Usamah Bin Zaid, yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang di antara maksudnya: 'Apabila seseorang menghadapi sesuatu qada' takdir yang tidak disukai oleh perasaan dan nafsunya maka hendaklah ia bersabar dan berharap mendapat pahala dari Allah swt, kerana segala²nya adalah hak milik Allah, samada yang diambilnya atau yang diberinya, lagi pula Tuhan telah tetapkan bagi tiap² sesuatu, masanya dan cara berlakunya, serta hendaklah mencari seberapa yang boleh jalan keluar dengan mana² satu qadar takdir yang ditentukan Tuhan untuk berbuat demikian, dan jangan sekali² berdiam diri sahaja. Jangan pula merungut dengan berkata:" kalaulah aku lakukan begitu begini tentulah tidak terjadi apa yang telah berlaku ini", kerana perkataan 'kalau' pada perkara yang telah berlaku tidak ada gunanya untuk menentang perkara yang telah terjadi itu, dan sikap berdiam diri serta rungutan yang tersebut adalah sikap orang yang penyegan dan pemalas, padahal sikap segan dan malas mengenai perkara² yang boleh diusahakan adalah satu sikap yang dibenci oleh Allah dan rasulNya, bahkan kata² rungutan yang tersebut mengandungi pengertian bahawa qadar takdir yang ditentukan Tuhan berlakunya, boleh dihalangi oleh satu² cara yang difikirkan oleh manusia.
Pengertian yang sedemikian bukan sahaja bermakna redhakan qadar takdir Tuhan, bahkan bermakna kufurkan qadar takdir yang ditentukan Tuhan.
Wallahu a'lam